Pakatan Harapan Sasar Gabungan Kerjasama Pembangkang Di Sabah

Diterbitkan: Ahad, 8 Januari 2017 5:27 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah bekerjasama untuk melancarkan gabungan Pakatan Harapan di Sabah dengan mesej jelas kepada parti-parti pembangkang tempatan bahawa mereka berhasrat untuk bertanding di negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Pemimpin pakatan itu berkata mereka bersedia untuk berunding dengan parti-parti pembangkang yang berpangkalan di Sabah tentang bagaimana Barisan Nasional (BN) dapat dikalahkan melalui 'satu lawan satu'.

Ketua DAP Sabah Stephen Wong berkata mereka sanggup bersikap 'memberi dan menerima' dengan rakan-rakan parti tempatan yang bersikap terbuka dengan tidak bertegas untuk bertanding di majoriti kerusi.

"Sebarang keputusan tentang siapa yang akan bertanding kerusi tertentu hendaklah berasaskan kepada kerja-kerja parti, sumbangan dan kekuatan di kawasan itu," katanya.

"Jika satu parti itu masih tidak berbuat apa-apa dalam kawasan pilihan rayanya dan menjangkakan kita akan membenarkannya bertanding di sana, itu tidak adil," kata Wong selepas menandatangani perjanjian pembentukan gabungan Pakatan Harapan dengan Ketua PKR Sabah Christina Liew dan Ketua Amanah negeri Hamzah Abdullah, Ahad.

Turut hadir pemimpin PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Majlis ini telah diadakan di Dewan Hakka di Likas di sini, yang turut menyaksikan pelancaran Gabungan Sabah (United Sabah Alliance) yang terdiri daripada Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan STAR.

Dewan ini juga menjadi lokasi pelancaran Parti Harapan Rakyat Sabah yang diketuai oleh bekas pemimpin Umno Datuk Lajim Ukin.

Dr Wan Azizah memberitahu pemberita bahawa beliau telah bertemu pemimpin Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memulakan perbincangan mengenai strategi bagi mengalahkan BN dalam pilihan raya akan datang.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan