Jangan Sorok Bekalan Barangan Basah - LKIM

Diterbitkan: Sabtu, 7 Januari 2017 3:40 PM

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim (empat, kanan) memeriksa ikan ketika lawatan kerja di Pasar Tani Saujana Utama, Sabtu. Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pelesenan LKIM, Baharudin Kadri (dua, kanan) dan Timbalan Pengarah FAMA Selangor, Mohd Nazam Hussin (tiga, kanan).

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BULOH: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menyorokkan bekalan barangan basah hingga menyebabkan kenaikan harga di pasaran.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata tindakan itu bukan sahaja mengakibatkan kekurangan bekalan, malah menyebabkan pengguna panik dan menyalahkan kerajaan.

"Peniaga hari ini memaklumkan kepada saya bahawa bekalan ikan dan hasil laut lain mencukupi, cuma ada pihak yang sorok bekalan berikutan musim perayaan.

"Mereka perlu menghentikan kegiatan itu kerana ia boleh menjejaskan pendapatan harian peniaga. LKIM dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) memandang serius perkara ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra di Pasar Tani Saujana Utama di sini, Sabtu. 

Irmohizam berkata laporan media baru-baru ini mengenai kenaikan harga barangan basah dan sayur-sayuran turut berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Menurut laporan itu, harga beberapa jenis ikan naik antara RM1 hingga RM3 sekilogram berikutan kekurangan bekalan bahan mentah selain faktor kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun Irmohizam berkata kenaikan harga itu tidak berlaku.

Menurutnya, bekalan ikan adalah mencukupi dan LKIM juga telah mengaktifkan sebanyak 145 tan metrik stok ikan sejuk beku.

"Ikan sejuk beku ini berkualiti dan dijual pada harga berpatutan. Saya harap promosi ikan sejuk beku ini dilakukan secara besar-besaran," katanya.

Dalam tinjauan di pasar tani berkenaan, Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor turut mengedarkan risalah Kempen Bebas Plastik dan larangan penggunaan produk berasaskan polisterin di pasar tani di Selangor.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Irmohizam , LKIM , Pasar Tani Saujana Utama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan