SPRM Rampas Dokumen Di Pejabat KSU

Diterbitkan: Jumaat, 6 Januari 2017 9:53 PM

Azam Baki

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah dokumen disyaki mempunyai maklumat berhubung kegiatan ketua setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disyaki terlibat dalam rasuah, yang ditahan pada Rabu lalu.

Menurut sumber SPRM, pihaknya memperoleh dokumen berkenaan selepas melakukan serbuan di pejabat Datuk Mohd Arif Ab Rahman di Putrajaya pada Jumaat.

Katanya, kontraktor dan vendor yang dipercayai telah dianugerahkan kontrak daripada KSU berkenaan akan dipanggil selepas pihaknya meneliti dokumen yang dirampas itu. 

"Beberapa pegawai dan kakitangan kementerian itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat malam.

Sumber itu turut memberitahu, SPRM turut akan menyiasat penglibatan suspek dalam beberapa projek ketika memegang jawatan lain sebelum menjawat jawatan sekarang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata siasatan masih di peringkat awal dan SPRM dijangka akan merampas lebih banyak dokumen berhubung siasatan ini.

"Setakat ini tiada tangkapan baharu namun saya tidak menolak kemungkinanakan ada tangkapan lagi pada masa akan datang," katanya.

Wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta dirampas dan disita setakat ini oleh SPRM, susulan penahanan Mohd Arif, 59, di kediamannya di USJ, Subang Jaya, pada Rabu.

Manakala dua anaknya ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas mereka dipanggil untuk disoal siasat.-Bernama

Tags / Kata Kunci: KSU Rasuah , Dokumen , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan