Isu Sesumpah Uber/GrabCar: MAHB Tak Berdiam Diri

Diterbitkan: Jumaat, 6 Januari 2017 8:10 AM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak akan berdiam diri, sebaliknya merangka perancangan rapi untuk mengambil tindakan secara menyeluruh dalam usaha menangani isu dan masalah yang timbul di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang.

Antaranya, termasuklah masalah kesesakan di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang, serta yang terbaharu, isu melibatkan pemandu perkhidmatan e-hailing Uber dan GrabCar yang bertindak menjadi ulat apabila berada di kawasan berkenaan.

“Ia akan melibatkan kerjasama bersepadu antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak polis dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Sebelum ini memang sudah ada kerjasama, tetapi ia akan diperkukuhkan lagi dengan beberapa inisiatif akan diteruskan untuk memastikan kelancaran operasi di sekitar lapangan terbang,” demikian menurut sumber yang rapat dengan MAHB, tetapi enggan namanya didedahkan.

Difahamkan, MAHB sedar tentang isu yang didedahkan oleh mStar Online baru-baru ini mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di KLIA dan KLIA2 gara-gara persaingan tinggi untuk mendapatkan pelanggan.

Portal berita ini telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Ekoran pendedahan tersebut, kumpulan pemandu teksi bajet di KLIA2 menggesa MAHB memindahkan kedudukan mereka dari tingkat bawah yang didakwa tersembunyi, ke aras atas di balai ketibaan kerana mendakwa ‘sesumpah’ ini telah merampas penumpang mereka sekali gus menjejaskan periuk nasi pemandu-pemandu teksi di sana.

“Telah ada rancangan untuk perbincangan diadakan dengan Uber dan GrabCar berhubung perkara ini,” katanya.

Sumber itu berkata, antara langkah segera yang telah diambil adalah melarang mana-mana kenderaan daripada berhenti dan menunggu penumpang, terutamanya di pintu ketibaan.

“Pendekatan ‘tidak boleh menunggu’ telah lama digunakan. Sekarang pendekatan baharu sedang dilaksanakan iaitu ‘orang tunggu kereta’, bukan lagi ‘kereta tunggu orang’,” katanya.

Pelaksanaan pendekatan ini walaupun dilihat tegas tetapi sebenarnya lebih bersifat mendidik, sama ada penumpang atau orang yang mengambil penumpang, justeru ia akan mengambil sedikit masa.

Selain itu, difahamkan MAHB juga akan menggiatkan usaha untuk menggalakkan orang awam menggunakan kawasan menunggu khas yang dinamakan 'Off Terminal Waiting Area' yang terletak dekat dengan KLIA dan KLIA2.


Difahamkan, kawasan itu telah dibuka kira-kira setahun  lalu dan ia terbuka untuk orang awam atau sesiapa sahaja yang mahu menunggu buat sementara waktu untuk menjemput penumpang dari lapangan terbang.
Tags / Kata Kunci: pemandu Uber , pemandu GrabCar , MAHB , isu sesumpah

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan