Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat Kepada 12,636 Orang

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2017 10:04 AM

Sebahagian penduduk meredah air banjir di pekan Rantau Panjang, Kelantan.

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 12,636 orang daripada 4,307 keluarga setakat 8 pagi Khamis, berbanding 12,400 orang daripada 4,211 keluarga pada malam Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata, 62 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir tersebut di lapan jajahan negeri ini.

"Jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas ialah 8,679 orang daripada 3,131 keluarga yang ditempatkan di 34 pusat pemindahan, seramai 1,965 orang (649 keluarga) di empat pusat pemindahan di jajahan Tumpat, manakala seramai 715 orang (184 keluarga) di lima pusat pemindahan di jajahan Kota Bharu," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata di jajahan Tanah Merah terdapat 314 orang (79 keluarga) ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, 40 orang (8 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai, 568 orang (160 keluarga) di empat pusat pemindahan di jajahan Pasir Puteh, 245 orang (68 keluarga) di enam pusat pemindahan di jajahan Machang dan di jajahan Bachok terdapat 110 orang (28 keluarga) di sebuah pusat pemindahan.

Beliau berkata, cuaca baik sejak semalam dijangka mengurangkan jumlah mangsa banjir di Kelantan pada Khamis.

Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m) namun menunjukkan trend penurunan setakat 8 pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.17m berbanding 10.29m pada Rabu malam.

Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah mencatatkan bacaan menurun 14.38m berbanding 15.92m malam tadi (paras bahaya 16m) manakala sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.


Tags / Kata Kunci: banjir 2016 , banjir Kelantan , APM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan