Pemanjat Berani Mati Pertahan Aksi Bahaya

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2017 8:56 AM

Aksi Wee Loong memanjat salah sebuah kren di Kuala Lumpur. Foto ihsan KEOW WEE LOONG

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiap kali pemanjat berani mati, Keow Wee Loong, 27, memuat naik gambar aksi terbaharunya di Internet, dia sudah bersedia berdepan dengan kritikan.

Pemanjat yang pernah memanjat beberapa bangunan tertinggi di dunia malah pernah merentasi zon radioaktif itu berkata, reaksi negatif tersebut membuatkan beliau kebingungan.

"Orang menggelarkan saya bodoh kerana membahayakan nyawa. Pertamanya, ia bukan satu jenayah. Ia sekadar berdepan risiko.

"Bila orang Barat melakukan perkara yang sama, mereka akan kata 'wow' menakjubkan!'," katanya.

Pihak berkuasa kini meneliti dua video yang menjadi viral baru-baru ini, menunjukkan sekumpulan remaja memanjat dan melakukan aksi bahaya di Ipoh.

Satu kumpulan memanjat papan tanda 'Ipoh' di puncak bukit di bandar berkenaan, manakala seorang lagi merakamkan dirinya ketika berada di puncak sebuah kren.

Wee Loong yang mengukir namanya sebagai 'berani mati' di Malaysia berkata, golongan muda seharusnya dibenarkan untuk "meneroka".

"Mereka hanya budak-budak yang menghabiskan masa bersama teman-teman mereka.

"Kita tidak seharusnya mengancam mereka dengan hukuman penjara dan denda bila mereka hanya cuba untuk meneroka, dan melakukannya sesama mereka.

"Ia seperti aktiviti rock climbing, melakukan terjunan dari pesawat, menyelam skuba bersama jerung, kerana kehidupan bukan sekadar bekerja," ujar Wee Loong.

Sementara itu, salah seorang remaja yang merakamkan aktiviti buaian di papan tanda 'Ipoh' minggu lalu berkata, dia bersama teman-teman memberi kerjasama dengan pihak polis.

Polis telah mengambil keterangan mereka mengenai aksi mereka di mana ia menjadi viral secara dalam talian.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Carnegie Mellon di Pittsburgh di Amerika Syarikat, aktiviti ekstrem baharu itu merupakan satu bentuk 'selfie' yang digelar sebagai 'killfies', yang semakin popular sejak 2013.

Kajian mendedahkan 127 orang terbunuh di seluruh dunia antara 2014 dan September tahun lalu semasa melakukan aksi bahaya hanya untuk mendapatkan gambar terbaik.

Kebanyakan mereka maut semasa mengambil gambar selfie dengan 80 peratus terbunuh itu berusia bawah 25 tahun.

India mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 76 orang. Pada 2014, polis negara ini merekodkan enam kematian yang dikaitkan dengan 'selfie'.

Pakar psikologi, Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, mereka yang berani mati melakukan 'selfie' ini cuba meraih populariti sebagai bentuk ekspresi diri.

"Akhirnya, gambar 'selfie' yang sempurna tidak berbaloi sehingga menggadai nyawa," kata timbalan presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) itu.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan kebiasaan bagi golongan muda untuk meraih perhatian dan mendapat pujian di kalangan teman-teman.

Beliau percaya mereka yang sanggup melakukan 'selfie' ekstrem mungkin mahu meningkatkan harga diri mereka.

"Bagi sesetengah kes 'selfie' berani mati, ia merupakan refleksi kepada ciri personaliti narsisistik terhadap seseorang yang mahukan pengiktirafan menerusi tindakan tidak konvensional dan melanggar undang-undang," katanya.

Tags / Kata Kunci: berani mati

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan