Pelajar Dipindahkan Selepas Sekolah Dinaiki Air Di Hulu Terengganu

Diterbitkan: Selasa, 3 Januari 2017 2:15 PM

Seorang guru Sekolah Kebangsaan Pasir Akar, Hulu Besut terpaksa pulang setelah sekolah mereka diarahkan tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri kerana dinaiki air antara 0.7 hingga 1.2 meter pagi Selasa. Sebanyak 14 daripada 25 bilik darjah sekolah tersebut terutamanya yang terletak di bahagian bawah telah dinaiki air.

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Empat belas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, di sini dipindahkan pukul 11 pagi tadi selepas laluan ke sekolah mereka dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, daripada jumlah itu, 11 orang dihantar ke Pusat Pemindahan Pengkalan Ajal manakala selebihnya dihantar ke rumah masing-masing.

"Pelajar berkenaan dipindahkan selepas laluan untuk mereka pulang ke rumah dinaiki air setinggi 0.5 meter. Bagi mengelakkan situasi kelam kabut, pihak sekolah meminta bantuan pihak berkuasa bagi menyelamatkan mangsa sebelum terkandas," katanya kepada Bernama di sini.

Difahamkan kesemua pelajar itu sedang mengikuti sesi pembelajaran sebelum kawasan itu dilanda banjir pagi tadi. 

Sementara itu, di Kemaman sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Kubu di sini terpaksa dibatalkan setelah sekolah berkenaan dinaiki air sejak awal pagi Selasa. 

Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Idris Bidin berkata seramai 45 murid yang tinggal di asrama sekolah tersebut juga terpaksa dipindahkan ke balai raya berdekatan.

"Sekolah ini sepatutnya beroperasi pada Selasa tetapi hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan air sungai berdekatan mula melimpah dan pukul 7 pagi air makin naik sehingga 0.04 meter ke dalam kawasan sekolah.

"Bimbang dengan keselamatan murid, kami ambil keputusan untuk pindahkan murid ke balai raya dengan bantuan polis," katanya kepada Bernama.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: banjir , Hulu Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan