Banjir: Polis Beku Cuti 5,000 Pegawai Dan Anggota

Diterbitkan: Isnin, 2 Januari 2017 5:35 PM

Orang ramai mengharungi banjir di kawasan kedai bebas cukai hari ini selepas dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak Jumaat lepas. Tinjauan fotoBernama mendapati kedai-kedai di kawasan bebas cukai terpaksa tutup ekoran banjir. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PASIR MAS: Polis membekukan cuti 5,000 pegawai dan anggotanya sebagai persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata selain itu, mana-mana pegawai dan anggota yang sedang bercuti ketika ini turut dipanggil untuk kembali bertugas.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi membantu kelancaran operasi memindahkan mangsa banjir yang terjejas dengan bencana tersebut.

"Bagaimanapun, pegawai dan anggota yang berkursus, bermesyuarat dan cuti kecemasan masih dibenarkan untuk bercuti," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini, Isnin.

Ab Rahman berkata pihaknya akan menggerakkan pegawai dan aset sedia ada bagi membantu penduduk yang terjejas dengan bencana tersebut.

Beliau turut meluangkan masa untuk melawat Balai Polis Rantau Panjang yang turut ditenggelami air sedalam kira-kira 0.3 meter.

Dalam perkembangan sama, Ab Rahman berkata pihaknya turut membahagikan polis kepada dua pasukan yang ditugaskan untuk membantu mangsa dan mengawal keselamatan ketika musim banjir.


Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang untuk berpindah ke pusat pemindahan kerana tahap keselamatan kediaman mereka terkawal.

Tags / Kata Kunci: beku cuti , banjir Pantai Timur , cuti polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan