Jumlah Mangsa Banjir Di Terengganu Menurun

Diterbitkan: Ahad, 1 Januari 2017 11:29 PM

Dua anggota Angkatan Pertahanan Awan menasihatkan beberapa kanak-kanak tentang bahaya bermain air banjir sewaktu tinjauan fotoBernama di Kampung Bukit Tadok pada 1 Januari 2016. -BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Banjir yang masuk hari kedua di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 1,606 orang setakat pukul 10 malam ini berbanding 2,679 pada 6 petang Ahad.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini 24 pusat pemindahan masih dibuka di lima daerah dan ia adalah penurunan ketara berbanding 35 pusat pemindahan yang beroperasi lewat petang.

Daerah Hulu Terengganu yang terjejas teruk juga semakin pulih apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 853 orang daripada 363 keluarga berbanding 1,633 mangsa daripada 607 keluarga pada pukul 6 petang.

Sebanyak sembilan pusat pemindahan di daerah itu telah ditutup menjadikan bilangan terkini hanya enam pusat pemindahan yang masih dibuka.

Di Marang pula merekodkan 540 mangsa daripada 141 keluarga yang berpindah ke 11 pusat pemindahan daerah itu diikuti daerah Kemaman 98 mangsa (24 keluarga), Dungun 87 mangsa (20 keluarga) dan Setiu 23 mangsa (enam keluarga).

Sementara itu, Pemangku Pengarah JKM Terengganu, Rusmi Mahmood berkata walaupun jumlah mangsa semakin berkurangan, semua petugas dan sukarelawan JKM masih dalam keadaan bersedia ekoran cuaca yang tidak menentu ketika ini. 

"Alhamdulillah, petang tadi satu daerah tidak lagi terjejas akibat banjir iaitu Besut.

"Ketika ini, 150 petugas JKM Terengganu masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan untuk membantu mangsa agar mereka selesa sepanjang berada di situ.

"Seramai 40 sukarelawan JKM Terengganu turut membantu petugas di pusat pemindahan untuk memastikan semua mangsa mendapat keperluan yang secukupnya," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Banjir Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan