Keselamatan, Kebajikan Rakyat Sentiasa Diutamakan - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 31 Disember 2016 6:58 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Ketika Malaysia hendak melangkah ke Tahun Baharu 2017, Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar bahawa kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepentingan keselamatan dan kebajikan rakyat.

Beliau melahirkan penghargaan kepada pasukan polis dan angkatan tentera atas peranan besar mereka dalam mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan sambil memberi jaminan kerajaan akan terus berwaspada berhubung hal-hal keselamatan.

"Kita menghadapi serangan pertama berkaitan Daesh pada Jun, dan hanya semangat dan dedikasi anggota polis dan tentera yang berani yang tidak mengenal erti penat menghalang insiden seperti itu daripada terus berlaku," kata beliau dalam Perutusan Tahun Baharu 2017.

Perdana Menteri berkata, kerajaan dan pasukan keselamatan akan terus melindungi Sabah terutama di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, daripada ancaman oleh kumpulan pengganas dan penculik.

Mengenai peranannya di pentas antarabangsa, beliau berkata Malaysia tidak akan memencilkan diri daripada bersuara dan akan memainkan peranan aktif bagi membangkitkan isu-isu global yang penting. 

Perdana Menteri menarik perhatian kepada isu etnik Rohingya dan usaha mencari keamanan di Timur Tengah termasuk soal Palestin, sebagai contoh, bagi peranan yang dimainkan Malaysia. 

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pertumbuhan Malaysia harus dikekalkan dan dikongsi secara sama rata.

Justeru, beliau menegaskan bahawa projek-projek infrastruktur berskala besar di seluruh negara akan membantu kerajaan mencapai matlamat ini.

Najib berkata, pelaksanaan projek-projek seperti projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang, Johor, Lembah wawasan Malaysia (MVV), Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX), Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi negara dan meningkatkan kehidupan rakyat.

"Lebuh Raya Pan Borneo contohnya, bukan sahaja akan menghubungkan Serundong di Sabah dengan Semantan di Sarawak tetapi juga membantu membangunkan semula bandar-bandar di sepanjang laluan lebuh raya," kata beliau.

"Saya berazam untuk menyaksikanm kejayaan projek-projek ini kerana saya tahu banyak komuniti, yang telah saya lawati, akan mendapat manfaat daripadanya," kata Najib.

Perdana Menteri juga menyentuh mengenai fasa satu MRT yang dilancarkan baru-baru ini yang berjalan mengikut jadual dan di bawah bajet - dan fasa tiga LRT yang sudah pun bermula.

"Malaysia sangat-sangat memerlukan infrastruktur baharu ini, dan kemudahan ini sepatutnya telah dibina lama dahulu," katanya. 

Perdana Menteri juga memberi penghormatan kepada semua rakyat Malaysia kerana menyokong pasukan Malaysia pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

"Walaupun semua atlet kita memang layak diberi pujian tetapi memenangi dua pingat emas pertama adalah satu pencapaian yang bersejarah dan menyentuh hati semua rakyat Malaysia," kata Najib.

"Semangat wira-wira sukan mungkin telah dicapai di Rio de Janeiro, tetapi saya turut berbangga bahawa semua rakyat Malaysia - baik di bandar-bandar mahupun kampung di seluruh pelusuk negara - bersatu untuk menyokong pasukan kebangsaan. Ia benar-benar mencerminkan 1Malaysia," kata Najib.

Beliau menarik perhatian bahawa detik itu menggambarkan siapa rakyat Malaysia apabila mereka melakar pencapaian terbaik.

"Kejayaan seperti itulah yang harus kita capai ketika kita melihat ke masa depan, ke arah mencapai dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan matlamat yang negara berhasrat untuk mencapainya menjelang pertengahan abad ini.

"Sebuah negara yang yakin dengan dirinya, meraikan kepelbagaian, berbangga dengan kejayaan dan sentiasa berusaha untuk memastikan kita semua adalah sebahagian penuh daripada perjalanan besar yang dilalui Malaysia," katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan pelantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan menzahirkan penghargaan kepada Tuanku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah atas pemerintahan cemerlang baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan