Pemandu Teksi Rayu Pindah Ke Balai Ketibaan KLIA2

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2016 8:00 AM

Azemi Omar

(Ubah saiz teks)

LAPORAN KHAS

PETALING JAYA: “Jika pemandu Uber dan GrabCar boleh ambil penumpang ‘dari pintu ke pintu’, kenapa tidak kami,” demikian persoalan yang dibangkitkan Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi (PKPT) Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) untuk perhatian pihak berkuasa.

Pengerusinya Azemi Omar berkata, lokasi menunggu penumpang yang ditetapkan untuk pemandu teksi bajet berkupon KLIA2, iaitu di tingkat bawah balai ketibaan menjadi faktor utama 'sesumpah' atau pemandu perkhidmatan 'e-hailing' yang tidak menggunakan aplikasi tempahan semakin bermaharajalela di kawasan itu.

“Mana ada lapangan terbang di dunia yang tempat menunggu teksinya diletak tersembunyi daripada penumpang yang baru sampai di balai ketibaan.

“Sudahlah pemandu Uber atau Grab tak perlu beratur dan boleh sesuka hati ambil penumpang dari balai ketibaan, kami pula diletak tersorok di bawah dan kena ikut giliran ambil penumpang,” kata Azemi kepada mStar Online.

Azemi berkata demikian susulan pendedahan mStar Online mengenai tindakan sebahagian pemandu perkhidmatan itu yang semakin ‘rancak’ beroperasi di KLIA dan KLIA2 menggunakan taktik licik mengaut untung bersih tanpa potongan komisen 20 peratus atas beberapa faktor, sehingga mengganggu periuk nasi pemandu-pemandu teksi KLIA.

Berdasarkan tinjauan, tindakan mereka ini bukan sahaja menjejaskan kira-kira 40 peratus pendapatan harian pemandu teksi yang mempunyai permit sah menghantar penumpang dari KLIA, tetapi juga mengakibatkan kerugian kepada syarikat Uber/Grab.

Azemi berkata, selain sistem kurang efisyen terhadap pemandu teksi KLIA2, aspek pemantauan yang lemah di pihak agensi penguatkuasaan juga menjadi penyebab 'sesumpah' aplikasi e-hailing ini dapat terus ‘membiak’.

“Pihak berkuasa perlu berada di tempat yang sepatutnya mereka berada setiap hari, bukan hanya pada hari atau waktu tertentu saja.

“Kami nampak golongan ini setiap hari, tapi tak boleh buat apa, hanya tengok sahajalah aktiviti mereka,” ujarnya.

Cadangan Hanya Tinggal Cadangan



Menurut Azemi, cadangan supaya pemandu teksi di KLIA2 ditempatkan di aras yang sama dengan balai ketibaan sudah disuarakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tetapi sehingga kini ia hanya tinggal cadangan.

Jelasnya, cadangan itu dibuat selepas mendapati wujud persaingan tidak adil antara pemandu teksi dan Uber/Grab apabila kawasan untuk pemandu teksi adalah jauh, tersembunyi dan terpisah daripada penumpang.

“Bayangkan penumpang yang turun dari pesawat perlu berjalan kira-kira 1.7 kilometer untuk ke balai ketibaan, sudah tentu mereka penat dan mahukan perkhidmatan kenderaan yang paling dekat, cepat dan mudah.


“Cara paling senang adalah tempah Uber atau Grab, bukan usung troli turun bawah untuk cari teksi. Kalau belum sempat tempah pun tak payah risau, pasti akan ada yang mendekati mereka dengan cepat, ” katanya.

Azemi bagaimanapun mengakui jika cadangan itu dilaksanakan, ia hanya mampu mengurangkan aktiviti ulat dan sesumpah, dengan memberi contoh sistem yang diguna pakai di KLIA di mana tidak banyak ulat berani menonjolkan diri mereka disebabkan pemandu teksi berada di aras balai ketibaan.

Selain cadangan berpindah ke aras balai ketibaan, Azemi turut mencadangkan agar kerajaan segera ‘menghalalkan’ kewujudan Uber/Grab dengan pemberian lesen atau permit.

“Macam sekarang ini kami tetap nampak mereka ini ‘haram’, tak ubah macam ulat-ulat lain.

“Atau, kerajaan boleh keluarkan peraturan menghalang mereka daripada menghantar atau mengambil penumpang di KLIA,” katanya sambil menambah pemandu Uber/GrabCar juga perlu diletakkan tanda bagi membezakannya dengan kenderaan awam.


Mahu Undang-Undang Adil, Harmoni

Menurut Azemi, jika kerajaan serius mahu mengambil berat nasib dan kebajikan pemandu-pemandu teksi KLIA, mereka perlu menunjukkan sikap lebih adil dengan mewujudkan undang-undang lebih harmoni.

Dakwanya, jika sebelum ini pemandu-pemandu teksi terpaksa ‘menelan’ kepahitan apabila teksi bandar (bermeter) dibenarkan masuk menghantar penumpang ke KLIA dan KLIA2, mereka kini perlu menghadam satu lagi keperitan dengan ‘pencerobohan’ Uber/Grab ke lubuk rezeki mereka.

“Kami telah bersikap terbuka dengan menerima mereka (Uber/Grab) atas alasan perkhidmatan ini disediakan atas kehendak rakyat.

“Tapi tengoklah sekarang, walaupun belum pegang permit sah, mereka sudah berani buat macam ni. Sudahnya kami yang tersepit,” beliau mengeluh sambil menambah tindakan pihak penguatkuasa terhadap ulat dan sesumpah adalah terlalu minimum.

Dalam pada itu Azemi turut mendedahkan bahawa kini hanya terdapat 350 hingga 450 teksi yang mampu bertahan di KLIA, berbanding 900 yang aktif sebelum ini di LCCT.

“Mereka terdiri daripada pemandu yang ada pencen bulanan, yang ada pelanggan tetap dan pemandu yang memang ‘berumah’ di sini.

“Persoalannya, di manakah pemandu selebihnya,” katanya.

Azemi berkata, lebih memudaratkan apabila terdapat pemandu yang kini terpaksa ‘mangkau’ (istilah tempoh masa pemandu teksi menunggu penumpang) sehingga lapan jam hanya untuk mendapatkan satu trip menghantar pelanggan.

“Dulu paling lama pun kami mangkau empat jam saja untuk satu trip, boleh dapat tiga atau empat trip dalam masa 12 jam, sekarang kena mangkau lebih lama sampai 18 jam,” katanya.

Industri Besar, Gaji ‘Ciput’

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKPT KLIA G.Mahesh berkata, pemandu teksi KLIA secara keseluruhannya ‘lesap’ 300 hingga 400 trip sehari dengan kehadiran Uber/Grab di tempat mereka.

G.Mahesh

Katanya, perubahan drastik ini dapat dirasai sejak Jun.

Mahesh berkata, walaupun baru-baru ini terdapat anggaran bahawa industri teksi negara bernilai RM2 bilion setahun, pemandu teksi KLIA sepenuh masa bukan sahaja perlu bersaing dengan rakan pemandu teksi lain, tetapi juga Uber/Grab, selain ulat serta yang terbaharu, 'sesumpah'.

“Saya anggarkan kami hanya menerima pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan dari jumlah tersebut,” katanya.

Mahesh berkata tambang dari KLIA ke pusat bandar Kuala Lumpur yang ditetapkan adalah RM75 (termasuk tol) dan dalam sehari pemandu teksi mendapat purata tiga trip.

“Setelah tolak kos sewa, tol, gas dan kos makan minum, berapa sangat yang tinggal untuk kami,” katanya.


Tags / Kata Kunci: Balai Ketibaan , KLIA2 , Azemi Omar , ulat KLIA , Spad , MAHB

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan