87 Jemaah Terkandas Di Mekah Akibat Kerosakan Enjin Pesawat

Diterbitkan: Jumaat, 30 Disember 2016 2:32 PM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Syarikat Al Fajr Travel and Tours Sdn Bhd, yang menguruskan 87 jemaah umrah yang dikatakan terkandas di Mekah sejak lima hari lepas, mengesahkan kelewatan jemaah pulang disebabkan kerosakan enjin pesawat yang dikendalikan oleh Mega Maldives Airlines pada 26 Disember lalu.

Pengurus Operasinya Mejar (B) Abdul Rashid Sarbini berkata pihaknya berharap agar para jemaah bersabar dan memberi sedikit masa bagi syarikat penerbangan membaiki pesawat yang sepatutnya membawa pulang para jemaah pada tarikh tersebut.

Selain itu, pihaknya juga turut mencari alternatif lain seperti mencari pesawat dan penerbangan lain seperti Saudi Airlines bagi membawa pulang jemaah umrah, yang kebanyakannya dari Batu Pahat, secepat mungkin. 

"Masalah berpunca daripada kerosakan pesawat Mega Maldives akibat masalah enjin. Pesawat itu sepatutnya membawa pulang jemaah kami dari Jeddah Isnin lepas (26 Disember) dan juga jemaah lain dari syarikat lain. Pihak mereka sudah maklumkan yang kerosakan itu akan mengambil masa selama lima hingga 10 hari untuk dibaiki," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Abdul Rashid berkata para jemaah yang terlibat telah dimaklumkan serta diberi penginapan oleh syarikat penerbangan serta makan dan minum dibiayai oleh Al Fajr Travel and Tours.

Mengikut perancangan terkini, jemaah dijangka pulang paling awal 1 Januari atau 2 Januari ini, sekiranya masalah pesawat dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Memang menjadi tanggungjawab kami untuk membawa pulang jemaah jadi kami harap jemaah dan keluarga di sini juga diharapkan banyak-banyak bersabar," katanya.

Berkenaan dengan tindakan yang mungkin dikenakan ke atas jemaah kerana tinggal di Jeddah melebihi tempoh masa visa yang dibenarkan, beliau berkata para jemaah tidak perlu risau memandangkan pihak syarikat telah pun memaklumkan permasalahan kepada muasasah yang menguruskan jemaah di sana dan juga Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Tiada tindakan yang akan dikenakan kepada jemaah, jadi tidak perlu risau.

Kalau ada tindakan pun, ke atas kami (syarikat). Tetapi dalam kes ini, kami dah maklumkan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, mereka juga sudah maklum, jadi tidak timbul langsung mengenai tindakan kecuali ada jemaah yang secara sengaja tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan," kata Abdul Rashid.

Pada Khamis, seramai 87 jemaah dari Batu Pahat dilaporkan terkandas di Mekah berikutan agensi pengurusan umrah mereka gagal menguruskan jadual penerbangan pulang seperti ditetapkan dan berita mengenainya mendapat perhatian Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

Menurut semakan visa yang dibuat oleh pihak konsulat, jemaah berkenaan yang tiba di Jeddah 12 Disember lalu, dibenarkan tinggal selama 30 hari iaitu sehingga 12 Januari ini.

Sementara itu, Mega Maldives Airlines dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya masih menunggu persetujuan pengendali lain untuk melaksanakan penerbangan sewa khas bagi membawa penumpang dari Jeddah ke Kuala Lumpur serta dari Kuala Lumpur ke Jeddah.

Syarikat penerbangan itu memahami bahawa notis yang munasabah perlu diberikan kepada pesawat untuk penumpang pergi ke lapangan terbang.

"Sekiranya penumpang membuat pertimbangan lain untuk perjalanan mereka, kami meminta agar mereka maklumkan kepada kami dan agensi pelancongan mereka supaya kami dapat memperuntukkan kapasiti tempat duduk yang kami cuba untuk menguruskan dengan sewajarnya," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Mekah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan