'Sesumpah' Akui Kenakan Caj Tiga Kali Ganda

Diterbitkan: Rabu, 28 Disember 2016 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAPORAN KHAS

PETALING JAYA: Caj perkhidmatan yang dikenakan 'sesumpah' atau pemandu pengangkutan kongsi kereta yang mengingkari syarat syarikat penyedia perkhidmatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terutama KLIA2 antara RM65 sehingga hampir RM200 untuk satu perjalanan.

"Tidak mahu pulang dengan tangan kosong", itu antara alasan mereka apabila ditanya kenapa bertindak serakus itu.

Seorang pemandu perkhidmatan itu yang mahu dikenali sebagai Razif berkata, kebanyakan penumpang yang diambil khususnya di KLIA2 kebiasaannya mahu ke Kuala Lumpur.

Katanya, kadar yang ditetapkan syarikat untuk perjalanan dari atau ke KLIA/KLIA2 iaitu RM65 tidak termasuk tol, dan caj itu hanya dikenakan untuk perjalanan sehala.

"Kami memang pemandu berdaftar tetapi macam segelintir pemandu teksi yang tidak ikut meter, kami juga sebut harga ikut sedap mulut.

"Ada di antara kami kenakan caj sampai RM180, itu belum termasuk dengan tol," dakwanya kepada mStar Online yang menyamar sebagai penumpang dalam perjalanan dari KLIA2 ke ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Razif, caj yang tinggi melampau itu hanya dikenakan kepada pelancong asing kerana mereka tidak memahami kadar sebenar bagi perkhidmatan pengangkutan itu di lapangan terbang.

Menetap di Sepang yang jaraknya dekat dengan KLIA dan KLIA2, katanya, kebanyakan 'sesumpah' ini menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam lebih-lebih tengah malam sehingga awal pagi.

"Buat lepas tengah malam sebab pihak berkuasa tak jaga kawasan di luar balai ketibaan. 

"Tapi kalau ada pihak berkuasa, kita tunggu juga macam biasa, macam orang lain yang tunggu ahli keluarga atau kawan-kawan," katanya sambil menambah kebanyakan kereta yang 'menunggu' di luar balai ketibaan adalah di kalangan 'sesumpah'.

Tambah Razif yang menjadi pemandu syarikat penyedia perkhidmatan itu sejak lebih setahun lalu itu mengakui, untuk mengelak dikesan, mereka menunggu di tepi jalan berdekatan kompleks parkir awam sebagai 'tempoh bertenang' sebelum kembali ke kawasan balai ketibaan.

"Kalau kena 'halau' dengan pihak berkuasa, kita beredar keluar untuk buat pusingan dan datang balik menunggu.

"Tapi ada juga yang terpaksa 'standby' dengan meletakkan kereta di kawasan parkir untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, taktik itu perlu dilakukan dengan pantas kerana tiada caj parkir untuk 15 minit pertama sahaja dan jika kosnya meningkat penumpang akan dibebankan lagi dengan caj yang lebih tinggi bagi menampung kos tersebut.

Tindakan ini tetap menguntungkan 'sesumpah' ini kerana habuan yang diterima bersih untuk mereka tanpa melibatkan 20 peratus potongan yang dikenakan syarikat, sekali gus ia merugikan syarikat penyedia perkhidmatan itu.

Sementara itu, Steven yang merupakan pemandu perkhidmatan sama memberitahu, dia tidak memilih penumpang kerana mengutamakan pendapatan hariannya.

"Kita tak pilih sesiapa, orang tempatan pun kita ambil. Asalkan kita tak pulang ke Kuala Lumpur dengan tangan kosong," katanya yang akan berubah menjadi 'sesumpah' hanya jika perlu menghantar penumpang ke KLIA atau KLIA2.

Mengulas lanjut, Steven berkata, mereka perlu berani memujuk dan membuat tawar-menawar dengan orang awam di balai ketibaan kerana terpaksa bersaing dengan pemandu perkhidmatan sama yang lain.

"Cuba awak (merujuk kepada wartawan mStar Online) tengok aplikasi Uber atau GrabCar, berapa ramai mereka di kawasan ketibaan. Kalau saya di sebelah awak pun, belum tentu awak dapat saya bila buat tempahan.

"Saya pun tak berani nak tawar dengan caj murah sangat sebab nanti pemandu-pemandu lain marah," katanya yang merujuk kepada rakan 'sesumpah' lain yang berkeliaran di kawasan sekitar bagi mendapatkan mangsa.

Bagi Haliq pula, persaingan sengit antara pemandu syarikat penyedia perkhidmatan itu di KLIA/KLIA2 menyebabkan antara mereka terpaksa menjadi 'sesumpah'.

"Hampir setiap hari saya bawa orang ke KLIA. Saya hanya hantar dan pulang dengan tangan kosong, untung yang dapat pun cukup makan saja.

"Ramai pemandu Uber dan Grabcar di KLIA terutama pada waktu pagi, itu boleh nak dekat 100 orang pun ada kalau tengok di aplikasi.

"Saya pernah juga tunggu tetapi dah lebih dua jam, masih dalam giliran yang perlu menunggu mungkin beberapa jam lagi.

"Sebab itu ada yang ambil jalan mudah dan pantas dengan mendekati orang awam terutama pelancong tanpa perlu melalui tempahan," kata Haliq.

Tags / Kata Kunci: KLIA2 , sesumpah KLIA , ulat

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan