Kemalangan Bas: Situasi Di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Terkawal

Diterbitkan: Sabtu, 24 Disember 2016 3:03 PM

Pasukan keselamatan berada di perkarangan bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah bagi memantau keadaan ekoran kemalangan bas ekspress yang menyebabkan 14 maut dan 16 cedera awal pagi Sabtu. Bas ekspress itu terbabas ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan arah utara. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

MUAR: Situasi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, yang menempatkan kesemua mangsa nahas bas di Pagoh, buat masa ini berada dalam keadaan terkawal.

Jurucakap hospital berkata, dua daripada 16 yang cedera dibenarkan pulang pada 10 pagi tadi setelah mendapatkan rawatan akibat cedera ringan.

"Sementara itu, mereka yang cedera parah masih mendapatkan rawatan di wad kecemasan.

"Kami masih menguruskan tempat yang sesuai bagi keluarga mangsa berkumpul," katanya ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan di sini, Sabtu.

Tinjauan Bernama mendapati setakat 10 pagi, belum kelihatan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu berkumpul di kawasan bilik mayat hospital itu.

Dalam kemalangan pada kira-kira 3.30 pagi tadi, 14 orang maut manakala 16 lagi cedera apabila bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di Km137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

Daripada 16 yang cedera, enam adalah warganegara Singapura dan dua warganegara Myanmar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan