Pendaki Solo 'Tawan' Menara KL

Diterbitkan: Sabtu, 24 Disember 2016 1:36 PM

Pendaki solo Mohd Noor Mat Amin menunjukkan sijil yang diterima setelah berjaya mendaki tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 21 kali tanpa henti untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records di Menara Kuala Lumpur pada 24 Disember 2016. - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin berjaya memperbaharui pencapaiannya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi mendaki tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tanpa henti selama 24 jam.

Walaupun gagal mencapai sasaran 24 kali, beliau tetap berjaya memahatkan namanya dalam MBOR sekali lagi selepas mendaki menara telekomunikasi ketujuh paling tinggi di dunia itu sebanyak 21 kali, berbanding rekod lamanya 20 kali pada 2008.

Perkara itu disahkan wakil MBOR, Nurasyikin Ramli pada majlis penyampaian sijil tersebut di sini, Sabtu.

Ia merupakan kali kelima jurufoto Utusan Malaysia berusia 49 tahun yang lebih dikenali sebagai Mr Solo itu menerima pengiktirafan daripada MBOR sejak 2007 menerusi beberapa pencapaian solonya.

Mohd Noor yang memulakan misi Kopi Pak Belalang KL Tower Staircase Climbing 2016 pada pukul 9.05 pagi semalam, telah naik dan turun 2,058 anak tangga Menara KL sebanyak 21 kali sebelum 9.29 pagi ini, dengan mengambil rehat 25 minit untuk menunaikan solat Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas menamatkan misi itu, Mohd Noor berkata antara cabaran yang terpaksa dilalui selama 24 jam itu ialah tidak boleh tidur walaupun mengantuk, menjaga pemakanannya dan suhu yang panas.

"Saya tidak makan nasi dan hanya mengambil makanan yang memberikan tenaga.

Saya juga bercakap sendiri tetapi tidak tahu apa yang saya cakapkan terutamanya pada awal pagi tadi hingga penamat.

"Selain itu, cabaran mendaki Menara KL berbanding gunung ialah pemandangannya adalah hanya dinding dan tangga selain tangga menara ini yang sangat panas," kata bekas jurugambar Bernama itu.

Mohd Noor seterusnya memasang impian mencipta rekod dunia di gunung tertinggi negara iaitu Gunung Kinabalu dan rekod Malaysia di Banjaran Himalaya dalam tempoh April hingga Okt 2017, namun ia masih di peringkat perancangan.

Sebagai rekod, anak kelahiran Terengganu itu pernah diiktiraf sebagai Pendaki Solo 50 kali bersempena Kemerdekaan Negara ke-50 (2007), Pendakian Tangga Tanpa Henti selama 24 Jam Menara KL sebanyak 20 kali (2008), Pendakian Solo 111 kali Gunung Kinabalu 1Malaysia (2010) dan mendaki Gunung Kinabalu selama 57 jam tanpa henti bersempena Hari Kemerdekaan ke-57 (2014).

Ditanya sama ada akan mencuba misi 24 kali itu lagi atau tidak, Mohd Noor berkata beliau lebih berminat mencipta rekod baharu dan mencabar golongan muda untuk memecahkan rekod berkenaan, serta bersedia memberi bantuan dalam usaha itu.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Zubir Embong, Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar dan pengasas Kopi Pak Belalang, Datuk Seri Dr Rozaini Hasan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Mohd Noor Amin , Pendaki Solo

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan