Petronas Kurang Pengeluaran Beri Kesan Minimum Kepada Hasil Kerajaan

Diterbitkan: Khamis, 22 Disember 2016 2:15 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abd Ghani berkata rancangan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan pengeluarannya pada Januari 2017 tidak akan memberi kesan ketara kepada hasil kerajaan.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata kesan pengurangan pengeluaran akan diimbangi dengan kenaikan harga minyak.

"Sekarang Petronas mengeluarkan hampir 500,000 tong. Potongan tersebut di bawah lima peratus.

"Walaupun dipotong, kita lihat harga minyak telah meningkat. Mungkin kita tidak berapa nampak impaknya," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Rapid KL LRT Laluan Ampang di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Datuk Seri Azmi Abdul Aziz serta bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Dr Elias Omar.

Pada Rabu, syarikat minyak nasional itu menyatakan akan mengurangkan sehingga 20,000 tong sehari (bpd) minyak mentah daripada pengeluaran purata negara bermula Januari ini.

Petronas berkata pelarasan secara sukarela itu merupakan respons kepada  persetujuan yang dicapai di Vienna, Austria, pada 10 Dis 2016 antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan pengeluar bukan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran.

Johari berkata pengurangan pengeluaran global oleh negara-negara Opec dan bukan Opec telah membantu menstabilkan harga minyak mentah dunia.

Sementara itu, Azmi berkata MRT Sungai Buloh-Kajang telah mencatatkan jumlah  penumpang sebanyak 60,000 orang sehari sejak dilancarkan pada 15 Disember, dan dijangka terus meningkat.

Mengenai Rapid KL LRT Laluan Ampang, beliau berkata, ia telah mencatatkan lebih dua bilion penumpang dalam tempoh 20 tahun operasi.

Tags / Kata Kunci: Petronas , Opec , Datuk Johari Abd Ghani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan