SPRM, LHDNM Jalin Kerjasama Perangi Gejala Rasuah, Elak Cukai - Berita Semasa | mStar

SPRM, LHDNM Jalin Kerjasama Perangi Gejala Rasuah, Elak Cukai

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2016 3:06 PM

Datuk Dzulkifli Ahmad (kiri) Datuk Sabin Samitah mengadakan pertemuan untuk membincangkan kerjasama antara SPRM dan LHDNM pada 21 Disember 2016.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menjalinkan satu rangkaian kerjasama strategik yang lebih erat dalam usaha membendung dan memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengelakkan sistem percukaian negara.

SPRM dan LHDNM menerusi kenyataan bersama pada Rabu menjelaskan, berdasarkan kerjasama strategik terbabit itu, kedua-dua pihak dapat melaksanakan siasatan serta tindakan lebih bersepadu dan efisien bagi mengesan dan mengenalpasti individu gagal melaporkan pendapatan mereka bagi mengelak membayar cukai pendapatan kerana terlibat dalam kegiatan rasuah.

Kerjasama itu dicapai selepas satu pertemuan diadakan antara Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin Samitah pada Rabu.

Berdasarkan pertemuan tersebut, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bergandingan dari sudut siasatan, berkongsi maklumat dan bertukar pandangan dalam isu-isu berkaitan rasuah, salahguna kuasa serta peningkatan kemampuan dalam memungut hasil cukai negara.

Jelas kenyataan berkenaan, kerjasama strategik itu akan memastikan bahawa maklumat mengenai kes jenayah rasuah dan salahguna kuasa yang disiasat oleh SPRM akan dirujuk kepada pihak LHDNM untuk tindakan lanjut.

"Melalui kaedah ini mana-mana individu yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salahguna kuasa bukan sahaja akan dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], tetapi juga diambil tindakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53], khususnya berkaitan kesalahan pengelakkan pembayaran cukai.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh ini diharap akan menghalang dan memadam keinginan mana-mana individu untuk terlibat dengan sebarang bentuk jenayah rasuah dan salahguna kuasa," tambah kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, SPRM dan LHDNM juga berharap inisiatif ini akan memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa kedua-dua organisasi ini mengambil serius usaha memerangi dan melumpuhkan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, serta pada masa yang sama memastikan sistem percukaian negara terus diperkasa untuk menjana sumber pendapatan negara.

Tags / Kata Kunci: SPRM , LHDNM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan