Agih Kerusi Ikut Faktor Kemenangan - Azmin

Diterbitkan: Isnin, 19 Disember 2016 5:53 PM

Azmin Ali.
(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengagihan kerusi dalam kalangan parti  Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dibuat dengan memberi keutamaan terhadap faktor kemenangan calon ataupun parti, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara pakatan itu dan PPBM pada 13 Dis lepas bagi menjalin kerjasama politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. 

"Mana-mana parti yang mempunyai keupayaan untuk menang di sesuatu kawasan, kita akan berunding siapa patut diletakkan bagi mewakili kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pengangkutan awam sekali seminggu di Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri di sini hari ini. 

Pada 13 Disember lepas, satu gabungan dibentuk antara PPBM dan tiga parti di bawah Pakatan Harapan iaitu Parti Amanah Negara, DAP dan PKR.

Menerusi gabungan itu, keempat-empat parti bersetuju memastikan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional pada PRU14 bagi membentuk kerajaan.

Ditanya mengenai kesediaan PKR menyerahkan kerusi yang ditandingi kepada PPBM, Mohamed Azmin berkata pihaknya sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Ketika PKR dibentuk pada 1999, kita tiada sebarang kerusi dan hanya diberikan kerusi oleh DAP dan PAS. Justeru, kini giliran kita pula untuk mempertimbangkan isu itu dan bersikap terbuka," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan