TNB: Lewat Senggara Boleh Jejas Bekalan Elektrik

Diterbitkan: Ahad, 18 Disember 2016 5:17 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merayu pengguna supaya memahami situasi disebalik keputusan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di pencawang Bukit Badong yang akan menyebabkan pemotongan bekalan air di beberapa kawasan Lembah Klang dari Isnin hingga petang Krismas.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di pencawang itu sedang dijalankan demi kepentingan pengguna, sambil menambah bahawa sebarang kelewatan boleh menjejaskan bekalan elektrik dalam jangka masa panjang.

"Keadaan semasa mengenai peralatan di pencawang itu adalah kritikal dan sebarang kelewatan akan menjejaskan bekalan elektrik dalam jangka masa panjang.

"Pemeriksaan fizikal, termasuk imbasan haba pada 15 Disember mendapati dua kawasan panas yang memerlukan tindakan segera untuk mengelakkan kerosakan besar kepada peralatan pencawang.

"Jika kerja itu ditangguhkan sekali lagi, percikan api boleh berlaku bila-bila masa dan kerja-kerja baik pulih yang berikutnya akan mengambil masa sehingga tiga minggu," kata Aminuddin menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata arahan 'pemberhentian tugas' yang dijadualkan pada Isnin adalah untuk memastikan bahawa kerja-kerja di pencawang itu termasuk penyelenggaraan pencegahan dan pemasangan sistem pencegahan arka boleh dijalankan dengan selamat.

Pencawang Bukit Badong membekalkan elektrik ke loji rawatan air Sungai Selangor.

Oleh itu kerja-kerja berkenaan menyebabkan operasi bekalan air disepanjang tempoh yang dijadualkan antara 19 hingga 24 Disember terpaksa dihentikan.

Gangguan bekalan air menimbulkan kemarahan di kalangan penduduk dan peniaga di Lembah Klang berikutan tarikh yang dipilih adalah hampir dengan perayaan Krismas.

Walau bagaimanapun, Aminuddin mengulangi bahawa tarikh bagi kerja-kerja penyelenggaraan itu telah dipersetujui dengan wakil-wakil dari sektor air sejak September.

"Kerja-kerja ini pada asalnya dijadualkan akan dijalankan pada 27 September tetapi pihak berkuasa sektor air telah meminta penangguhan.

"Kami akan memastikan kerja-kerja yang dijalankan mengikut perancangan dan berdasarkan jangkaan yang dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat," katanya.

Tags / Kata Kunci: TNB , Pencawang Bukit Badong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan