Hospital Kerajaan Bakal Dilengkapi Alat Kesan Awal Kanser Serviks

Diterbitkan: Sabtu, 17 Disember 2016 4:13 PM

Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya launch "Program Innovasi Social Mosti program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks bersama alat Persampelan sendiri" at Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Balik Pulau, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Cervisafe, sejenis alat ujian pengesanan awal kanser serviks bakal diperkenal di hospital-hospital kerajaan tahun depan untuk mengurangkan kos perubatan kanser.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kanser serviks adalah kanser kedua membunuh wanita di negara ini selepas kanser payudara dan penyakit itu mampu dibendung dengan adanya ujian pengesanan awal.

Menurutnya, pihak kementerian sedang dalam proses untuk membawa alat pengesanan Cervisafe ini ke hospital-hospital kerajaan supaya lebih ramai lagi rakyat khususnya golongan wanita dapat menjalankan ujian yang dikatakan 99.9 peratus tepat itu.

"Setakat ini, alat pengesanan itu hanya digunakan di hospital swasta tetapi saya yakin tanpa sebarang halangan, hospital-hospital kerajaan juga bakal mempunyai peralatan itu tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks di sini, Sabtu.

Katanya, hospital swasta mengenakan caj sehingga RM800 sekali ujian untuk Cervisafe dan sekiranya alat itu boleh diperkenalkan di hospital kerajaan, kos perkhidmatan itu akan dapat dikurangkan. 

Beliau berkata alat pengesanan itu diperkenalkan oleh DNA Research Centre (M) Sdn Bhd hasil kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membantu kaum wanita menjalani ujian. 

Sementara itu, Pengarah LaDIY Healthcare, anak syarikat di bawah DNA Resources Centre, Romli Ishak berkata Cervisafe merupakan sejenis alat yang berfungsi seperti ujian pap smear untuk mengesan kehadiran virus HPV lebih awal dengan mudah, ringkas dan tidak menyakitkan. 

Romli menerangkan bahawa Cervisafe Kit adalah alat pengambilan sendiri sampel serviks untuk mengesan perubahan sel dan kehadiran virus HPV. 

"Ia direka khas mengikut kesesuaian tubuh wanita yang menjadikan pengambilan sampel secara sendiri lebih praktikal dan selesa. Tanpa kehadiran doktor atau  pakar perubatan, wanita lebih bersedia dan tidak malu menjalani ujian tanpa kehadiran orang lain," katanya.

Katanya, proses ujian ini dijalankan adalah dua dalam satu iaitu membabitkan ujian HPV DNA dan ujian pap sehingga ia mampu mengesan 100 peratus keganjilan sel pada serviks. 

"Untuk itu sekiranya didapati ada virus HPV, rawatan susulan akan segera dijalankan terutama meningkatkan imunisasi sistem badan menerusi pengambilan  makanan tambahan serta gaya hidup sihat yang perlu diamalkan," kata Romli.

Tambahnya, ujian itu dijalankan di makmal UKM, Bangi dan keputusan ujian itu boleh diperoleh selepas tujuh hari menerima sampel.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Cervisafe , Dr Hilmi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan