Agensi Pelancongan Perlu Ada Lesen Khas Umrah Mulai Oktober 2017

Diterbitkan: Jumaat, 16 Disember 2016 12:29 PM

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua agensi pelancongan yang ingin mengendali pakej umrah perlu mempunyai lesen khas bermula 1 Oktober tahun depan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kata Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, tujuan pengenalan lesen khas tersebut adalah untuk memantau dan mengelak kes penipuan umrah berulang pada masa akan datang.

Jika sebelum ini mana-mana syarikat yang menjalankan aktiviti pengendalian ibadah umrah hanya perlu mendapatkan lesen perjalanan ke luar negara (outbound) namun bermula Oktober tahun hadapan mereka perlu mendapatkan  kedua-dua lesen iaitu lesen outbound dan lesen khas umrah, katanya.

Katanya, antara prasyarat untuk memperoleh lesen tersebut adalah pengendali umrah perlu menjalani kursus pemantapan pengendali umrah (KPPU) yang dianjurkan oleh kementerian selama dua hari.

"Kursus ini adalah wajib dan perlu dihadiri semua agensi pelancongan yang ingin menawarkan perkhidmatan pakej umrah dan sehingga kini 60 syarikat telah menjalani kursus tersebut," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini, Jumaat.

"Mereka yang gagal mendapatkan lesen bakal dikenakan tindakan denda RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun termasuk berhadapan pembatalan lesen pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 Seksyen 5(2)," katanya.

Menurut Mas Ermieyati, dianggarkan seramai 2,000 jemaah umrah telah terperdaya dengan kegiatan pakej umrah murah pada tahun ini, namun sehingga hari ini hanya satu aduan rasmi dibuat kepada kementeriannya.

Bagaimanapun, katanya, aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan daripada 2014 hingga Oktober tahun ini, sebanyak 3,482 kes direkodkan dengan jumlah tuntutan dari pengguna sebanyak RM21.28 juta.

Beliau turut memaklumkan bahawa hanya syarikat berbentuk sendirian berhad  yang dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan termasuk pakej ke umrah.

"Organisasi yang berbentuk koperasi dan yayasan tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan kecuali dengan menubuhkan anak syarikat berstatus Sdn Bhd dan mempunyai lesen daripada kementerian," katanya, sambil menambah kementerian tidak mengiktiraf penggunaan wakil syarikat dan ejen agensi pelancongan selain kakitangan mereka sahaja.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan bahawa harga siling pakej umrah ekonomi yang telah dipersetujui oleh anggota Majlis Kawal Selia Umrah bagi tempoh 12 hari 10 malam adalah sebanyak RM4,900 untuk tahun ini.

"Namun harga ini tidak termasuk kos kenaikan kadar visa sebanyak SR2,000 yang baru diperkenalkan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah yang menjalani ibadah itu untuk kali kedua dan seterusnya," katanya.

Menurutnya, jemaah yang hendak menunaikan umrah kali pertama, kadar visa adalah percuma.

Mengenai viral di media sosial mata wang Ringgit tidak diterima di Arab Saudi, Mas Ermieyati menegaskan ia tidak benar.

"Pihak pengurup wang di sana masih lagi menerima Ringgit Malaysia untuk ditukarkan kepada Riyal berdasarkan kadar pertukaran semasa," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan