Penantian Berakhir, Anak Yatim Kini Miliki MyPR

Diterbitkan: Jumaat, 16 Disember 2016 9:23 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penantian Norhanim Hasnor untuk memiliki kad pengenalan telah berakhir.

Berusia 30 tahun dan dilahirkan di Malaysia, beliau yang telah dibesarkan di rumah anak yatim di Kuantan terpaksa berdepan banyak kesulitan apabila tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Saya menghadapi banyak kesukaran di sekolah, susah mendapat kerja, susah mahu dapatkan lesen atau membuka akaun bank.

"Saya takut sepanjang masa. Saya takut polis 'kacau' apabila saya keluar dari rumah.

"Jika mereka minta pengenalan diri, apa yang perlu saya beritahu mereka walaupun saya dilahirkan di negara ini," katanya kepada The Star.

Norhanim akan menerima kad MyPR dalam tempoh sebulan selepas kesnya telah dibawa ke perhatian pihak berkuasa oleh Penyelaras Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan MyDaftar, Datuk N. Siva Subramaniam.

Norhanim berkata, beliau amat bersyukur apabila akhirnya dapat memiliki kad pengenalan diri yang sah.

"Ini adalah hadiah harijadi saya yang disambut pada Selasa lepas.

"Saya tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya saya sekarang," katanya, sambil menahan air mata.

"Bayangkan hidup anda tanpa identiti, tidak tahu siapa ibu bapa anda, tidak tahu asal usul anda.

"Sekarang saya boleh katakan bahawa saya sudah mempunyai identiti, dan ini negara saya," katanya.

Norhanim berkata, perkara pertama yang mahu dilakukannya setelah mendapat kad MyPR adalah membuat permohonan lesen memandu dan membuka akaun bank.

Katanya, perkara itu sudah menjadi perkara biasa kepada orang lain, tetapi tidak bagi dirinya yang tidak berpeluang berbuat demikian sehingga kini.

Siva juga memuji kecekapan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Kami gembira Kementerian Dalam Negeri telah menyediakan dokumen pengenalan diri yang diperlukan bagi membolehkannya meneruskan kehidupan.

"Ya, dia tidak mempunyai sijil kelahiran, tetapi dia telah berada di Malaysia sepanjang hidupnya. Dia dilahirkan di sini," katanya.

Siva berkata, MyDaftar akan terus membantu rakyat Malaysia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kerana masih ada lagi individu yang menghadapi isu sama seperti Norhanim.

Tags / Kata Kunci: MyDaftar , MyPR , JPN

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan