Sediakan Laluan Selamat Kepada Orang Awam Untuk Tinggalkan Aleppo - Mercy Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2016 10:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta menyediakan laluan selamat dan perlindungan kepada orang awam yang akan meninggalkan Aleppo timur, Syria, kata Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata persatuan itu bimbang tentang keselamatan orang awam yang terperangkap di Aleppo timur berikutan laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembunuhan secara hukuman mati yang berlaku di sana, walaupun kerajaan Syria bersetuju mengadakan gencatan senjata.

"Kami amat sedih dan gerun apabila mendengar laporan bahawa pihak yang berperang gagal menunaikan tanggungjawab mereka melindungi orang awam ketika berlaku peperangan dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Pihak berperang perlu menjamin keselamatan orang yang mencari perlindungan dan memudahkan pemberian pertolongan serta bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terperangkap di barisan hadapan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rusia mengisytiharkan pada Selasa bahawa peperangan selama empat tahun di Aleppo, bandar raya terbesar di Syria, sudah berakhir apabila saki baki pejuang pemberontak bersetuju untuk menyerahkan wilayah mereka kepada kerajaan Syria.

Menurut Dr Ahmad Faizal, Mercy Malaysia mempunyai satu Pasukan Penilaian Pantas (RAT) terdiri daripada lima anggota yang diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan akan dikerah sebaik sahaja akses ke kawasan berkenaan terjamin selamat.

"Kami berganding bahu dengan masyarakat kemanusiaan antarabangsa dan Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, menggesa agar disediakan akses selamat secara terus ke Aleppo untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan dengan segera.

"Pasukan RAT kami akan berada di sana untuk menilai keperluan kecemasan oleh orang awam yang masih berada di bandar raya Aleppo, termasuk ubat-ubatan, makanan dan barangan selain daripada makanan, barangan untuk musim sejuk serta keperluan lain. Kami berharap dapat mengerahkan mereka pada minggu akan datang," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Mercy Malaysia , Aleppo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan