HSR Mampu Beri Manfaat, Pacu Pembangunan Johor - MB

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2016 5:33 PM

Mohamed Khaled Nordin.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) mampu memberi manfaat kepada rakyat Johor selain menyumbang kepada pembangunan negeri, khususnya di kawasan sepanjang laluan pengangkutan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga optimis projek berimpak besar itu dapat meningkatkan jaringan hubungan antara daerah-daerah Johor.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sedang merangka perancangan bersesuaian bagi memantapkan lagi usaha-usaha pembangunan, termasuk menentukan skop tumpuan di kawasan terlibat.

Jelasnya, perancangan lebih mantap itu akan dibuat selepas mengetahui penetapan jajaran stesen-stesen di Johor bagi memaksimumkan manfaat projek HSR itu.

"Kita percaya pelaksanaan dan pembinaan projek HSR itu dapat memberi peluang serta manfaat kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Johor, khususnya di kawasan sepanjang perjalanan laluan kereta api tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pembangunan Paragon Private and International School di sini, Khamis.

Pada 13 Disember lepas, Malaysia dan Singapura memuktamadkan perjanjian dua hala  projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang akan mengurangkan masa perjalanan kepada hanya 90 minit.

Projek yang dijangka siap pada tahun 2026 itu, melibatkan laluan sejauh 350 kilometer dari Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong East, Singapura. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan