Pekerja Hidap HIV/Aids Diberhenti Kerja Walau Perkenal Kod Anti Diskriminasi

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2016 10:15 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kod Amalan Tentang Pencegahan dan Pengurusan HIV/AIDS di Tempat Kerja diperkenalkan pada 2001 tetapi mereka yang menghidap penyakit itu masih didiskriminasi.

Ramai yang hilang pekerjaan apabila penyakit yang dihidapi diketahui oleh majikan mereka, menurut laporan Majlis AIDS Malaysia (MAC).

"Stigma penyakit mengatasi kod amalan," kata Presiden MAC Bakhtiar Talhah pada sidang media untuk memaklumkan kandungan laporan berdasarkan aduan yang diterima oleh MAC dan disiasat.

Diskriminasi di tempat kerja meliputi satu pertiga daripada 15 aduan yang terkandung dalam Laporan Mitigasi HIV dan Hak Asasi Manusia 2015, kata beliau dan menambah beliau percaya ramai lagi pesakit yang menderita dalam senyap.

Bakhtiar menggesa kalangan perniagaan dan syarikat untuk menerima pakai kod amalan itu sambil berkata: "Setiap orang yang menghidap HIV berhak kepada kesihatan dan bebas daripada diskriminasi dalam sebarang bentuk rawatan tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.

Beliau menggesa pesakit HIV yang didiskriminasi supaya melaporkan pengalaman mereka kepada MAC.

Bakhtiar berkata, sesetengah aduan yang diterima membabitkan pekerja dalam industri pelancongan, hospitaliti dan hiburan yang diberhentikan kerja atau dipaksa meletak jawatan atau diturunkan pangkat apabila mereka diketahui menghidap AIDS.

Pengurus polisi MAC, Fifa Rahman berkata, sesetengah pekerja menghidap AIDS yang diberhentikan kerja di hotel-hotel lima bintang diterima kembali bekerja apabila kes mereka dibawa ke pengurusan tertinggi.

"Hotel-hotel lima bintang mempunyai undang-undang anti-diskriminasi yang kukuh untuk melindungi pekerja. Jadi, mereka yang diberhentikan kerja diterima kembali bekerja apabila kami meneliti kes itu," kata beliau.

Fifa berkata, MAC kini mengendalikan kes seorang doktor kerajaan yang diberhentikan kerja selepas beliau didapati HIV positif.

Beliau berkata, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mempunyai garis panduan membenarkan doktor yang HIV positif untuk terus bekerja selagi mereka mengambil ubat dan mematuhi langkah-langkah keselamatan apabila berurusan dengan pesakit.


Tags / Kata Kunci: HIV , Aids , diskriminasi , Bakhtiar Talhah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan