Beri Kami Masa, Ruang Privasi - Keluarga Mangsa Nahas LPT2

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2016 4:13 PM

Kemalangan di LPT2 yang meragut enam nyawa. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Anggota keluarga mangsa kemalangan maut di Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) meminta supaya diberikan masa dan ruang untuk mereka menenangkan fikiran sehingga keadaan benar-benar reda.

Mohd Aziruddin Majid, adik ipar Mahani Ngah yang meninggal dunia bersama lima yang lain berkata, mereka memerlukan sedikit masa untuk bertenang dan menghadapi situasi tersebut memandangkan semua anggota keluarga terutama mangsa yang terlibat masih lagi trauma.

"Sekarang ni semua mangsa masih lagi trauma, terutamanya suami Mahani (Ahmad Nasal Abd Rahman)...jadi buat masa sekarang eloklah kalau semua pihak tidak mengganggu keluarga kami terutamanya mangsa yang terlibat.

"Bila ada pihak yang berjumpa dan bertanya berkaitan kejadian tersebut kepada mangsa, ianya akan menimbulkan trauma. Semalam pun, ramai yang tanya hal kejadian dengan Ahmad Nasal sehinggakan beliau jadi semakin trauma dan menangis-nangis mengenangkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Mohd Aziruddin berkata, Ahmad Nasal, 52, yang merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) semasa kemalangan maut itu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Kemaman petang Selasa.

Tiga lagi anaknya Quratul Ain, 14, Ahmad Shakir, 12, dan Ahmad Mukriz, 3, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dilaporkan semakin stabil dan menunjukkan perkembangan positif.

"Alhamdulillah, Ahmad Nasal dah dibenarkan pulang...pagi tadi, kakak saya bagi tahu kemungkinan Ahmad Shakir dan Ahmad Mukriz juga akan dibenarkan pulang hari ini, manakala keadaan Quratul Ain juga semakin baik dan sudah mula disuap bubur," katanya.

Mohd Aziruddin berkata, meskipun reda dengan kejadian tersebut, keluarganya memerlukan masa untuk menerima dugaan tersebut.

"Memang kami reda dan menganggap ini ujian buat keluarga, tapi kami memerlukan sedikit masa sebab banyak benda yang terpaksa kami tangguhkan. Macam sekarang ini, kami masih belum dapat beritahu anak-anak Mahani yang ibunya serta dua lagi adik-beradik mereka meninggal sebab masanya belum sesuai.

"Setiap kali bangun tidur dan teringatkan ibunya, Ahmad Shakir pasti akan tanya "mana ibu...macam mana keadaan ibu". Memang luluh rasanya hati ini, tapi kami terpaksa berdalih dan tidak beritahu keadaan sebenar sehingga dia benar-benar pulih," katanya.

Aziruddin berkata, Ahmad Nasal yang juga seorang guru kini berada di HSNZ untuk menjaga anak-anaknya yang masih dirawat.

"Dia (Ahmad Nasal) masih banyak menangis setiap kali teringatkan kejadian tersebut dan dia sering mengucapkan "saya minta maaf atas apa yang berlaku" kepada anggota keluarga," katanya.

Kemalangan ngeri di Kilometer 288.6 LPT2 Ahad lalu melibatkan 10 anggota keluarga itu berlaku selepas susur keluar Plaza Tol Chukai, kira-kira pukul 6 petang apabila MPV jenis Hyundai Starex yang dipandu Ahmad Nasal hilang kawalan ekoran satu tayar hadapan pancit lalu merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar tiang jejantas.

Selain isteri dan dua anak Ahmad Nasal (Quratulnisa, 11, dan Ahmad Nijat, 9), turut terkorban ialah abangnya iaitu Ahmad Razif Abdul Rahman, 63, bersama isteri Pauziyah Awang, 56, serta cucu mereka Sofea Adriana Shahruddin, 7.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan