Siapa Calon PM Pembangkang - Vell Paari

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2016 5:19 PM

Vell Paari.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Susulan jalinan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, Datuk Seri S.Vell Paari mempersoalkan siapa calon perdana menteri bagi pakatan pembangkang itu.

Dalam kenyataan pada Rabu, Bendahari Agung MIC itu berkata, pembangkang juga tidak dapat mengesahkan siapa yang akan mengetuai pakatan itu sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum nanti.

"Saya ingin bertanya kepada pakatan baharu ini, siapa calon perdana menteri mereka jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Adakah ia akan jadi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin atau (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir?

"Saya yakin sehingga hari ini mereka tidak dapat mengesahkan siapa yang akan menjadi calon perdana menteri kerana semua orang dalam pakatan berjuang untuk jawatan itu," katanya.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah kerana keseluruhan parti sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Vell Paari turut mengutuk pembangkang kerana sering membentuk sebuah pakatan baharu menjelang pilihan raya dan menggesa mereka supaya belajar daripada BN.

"Kami tak ubah gabungan kami sebelum setiap pilihan raya, seperti yang mereka lakukan. Kami berpegang dengan satu, iaitu BN.

"Kadang-kadang, sudah tentu, kita mempunyai pandangan berbeza, tetapi kita sentiasa percaya dengan semangat BN dan kami tetap bersama," kata Vell Paari.

Jelas beliau, pembangkang hanya membentuk pakatan baharu untuk 'bermain politik' dan bukan memperjuangkan hak rakyat.

Pada Selasa, PPBM dan Pakatan Harapan menandatangani perjanjian kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tags / Kata Kunci: PPBM , Pakatan Harapan , Vell Paari

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan