Tuanku Abdul Halim Ambil Berat Isu Keselamatan Negara

Diterbitkan: Isnin, 12 Disember 2016 1:09 PM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Dataran Parlimen, Isnin. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan negara terutama ancaman kumpulan fahaman ekstrem seperti Daesh di negara ini adalah antara perkara yang sentiasa diberi peringatan serius oleh Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sepanjang lima tahun baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Secara sepintas lalu melihat pada kandungan titah ucapan baginda sejak naik takhta sebagai Ketua Negara Malaysia dan kedudukan baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tuanku Abdul Halim seringkali mengulangi peringatan bahawa keselamatan negara harus menjadi keutamaan warga ATM dan rakyat pada keseluruhannya.

Mesej ini malah menjadi intipati titah ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat suatu ketika dulu apabila baginda menlahirkan rasa bimbang dengan penularan fahaman keganasan yang boleh menjejaskan keamanan, perpaduan dan kestabilan ekonomi serta harta benda dan nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Baginda turut mengikuti dengan penuh rasa prihatin pergolakan yang berlaku di seluruh pelosok dunia dan serangan pengganas di beberapa negara seperti Belgium, Turki, Perancis dan Indonesia sejak kebelakangan ini.

Maklumat mengenai keselamatan dan pertahanan negara sentiasa baginda kemaskinikan melalui Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, setiap kali panglima ATM itu datang menghadap di Istana Negara.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Awam, J7 Markas ATM, Leftenan Kolonel Bakhtiar Nor Md Alias TUDM berkata Tuanku Abdul Halim ialah seorang raja yang banyak pengalaman dengan angkatan tentera dan amat mengambil berat soal keselamatan dan pertahanan.

Selain berpengalaman sebagai Pemerintah Tertinggi ATM kerana pelantikan dua kali baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1970 dan 2011, baginda juga pernah dilantik sebagai Kolonel Yang di-Pertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac, 1966 sehinggalah tarikh baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada tahun 1970.

Baginda kini ialah Kolonel Yang di-Pertua Rejimen Askar Melayu Diraja sejak dilantik pada 23 Sept, 1975 dan Kolonel Yang di-Pertua Kor Perkhidmatan Diraja.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan jasa baginda kepada ketenteraaan, ATM telah mengadakan satu Perbarisan Menjunjung Kasih pada 16 Nov lepas di Dataran Penglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi sempena tamat tempoh rasmi baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Pemerintah Tertinggi ATM.

Semasa bertitah pada acara itu, baginda telah mengingatkan seluruh warga ATM agar tidak alpa dengan kejayaan yang dikecapi hari ini selain sentiasa berusaha mengukuhkan organisasi dan semangat patriotisme agar mereka terus disegani kawan dan digeruni pihak lawan dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Tuanku Abdul Halim yang tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis ini (hari ini) akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Menurut Bakhtiar, ATM terlibat secara langsung dalam penugasan Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 bermula di Istana Negara sehingga sampai ke Kedah.

Istiadat Keberangkatan Balik bermula dari Istana Negara pada 12 Dis, 2016, pukul 8.00 pagi, Isnin.

Baginda melalui Kawalan Kehormat Darjah (KKD) oleh ATM yang terdiri daripada tiga pegawai dan 26 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) bersama-sama Panji-panji Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong di Anjung Utama Istana Negara.

Baginda juga melalui Kawalan Kehormatan Kuarter di pintu masuk Istana yang terdiri daripada lapan LLP.

Tuanku Abdul Halim seterusnya berangkat ke Dataran Parlimen bagi Acara Rasmi Negara dan mengambil Tabik Hormat.

Sebaik lagu Negara Ku dimainkan, tembakan Meriam Kehormatan Istiadat sebanyak 21 das dilepaskan.

Baginda kemudian melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) bersama-sama panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan panji-panji Rejimen yang dianggotai oleh empat pegawai dan 103 LLP bermula pada pukul 8.30 pagi, katanya.

Selesai Acara Rasmi Negara, Tuanku Abdul Halim berangkat ke Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Tuanku Abdul Halim melalui Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang terdiri daripada dua pegawai serta 26 LLP berangkat pulang menaiki pesawat ke Kedah," katanya.

Bermula dari Istana Negara, Baginda diiringi Pengiring Kenderaan Diraja yang terdiri daripada seorang pegawai dan 15 LLP sepanjang Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV bermula dari Istana Negara sehingga ke Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Bakhtiar berkata tiga buah pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM turut mengiringi pesawat baginda sehingga sampai ke Lapangan Terbang Abdul Halim, Alor Setar, Kedah yang tiba pukul 11.45 pagi.

Keberangkatan tiba baginda di lapangan terbang itu diraikan dengan satu acara di sana, di mana baginda menerima Tabik Hormat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) bersama-sama panji-panji Rejimen yang dianggota oleh tiga pegawai dan 103 LLP.

Lagu Negara Ku dimainkan dan serentak dengannya ialah iringan 21 das tembakan Meriam Kehormatan Istiadat.

Tuanku Abdul Halim melakar sejarah apabila menjadi raja pertama yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima mulai 21 Sept, 1970 sehingga 20 Sept, 1975 dan kali kedua mulai 13 Dis, 2011 hingga 12 Dis ini.

Baginda akan digantikan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan