Maulidur Rasul 2016 Disambut Sederhana

Diterbitkan: Isnin, 12 Disember 2016 1:47 PM

Dua kanak-kanak menaiki beca ketika menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, Isnin. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hujan renyai di beberapa kawasan di seluruh negara tidak menghalang sambutan dan perarakan sempena Maulidur Rasul 1438H yang disambut secara sederhana demi kecintaan kepada Pesuruh Allah, Nabi Muhammad S.A.W.

Sambutan Maulidur Rasul itu dimeriahkan dengan pakaian warna-warni peserta sambutan yang turut melaungkan kata-kata pujian dan selawat ke atas Junjungan Besar.

Di KUANTAN, kira-kira 1,260 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perarakan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Ia disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mewakili ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Di KUALA TERENGGANU, perarakan disertai 2,762 peserta yang mewakili 71 kontinjen untuk tiga kategori iaitu jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun negeri, agensi swasta serta jabatan persekutuan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan kepimpinan kerajaan negeri turut menyertai perarakan itu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis yang diadakan di Stadium Negeri.

Di TANJUNG MALIM, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul 1438 Hijrah peringkat negeri di Dewan Seri Tanjung.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama pada majlis yang disertai kira-kira 2,000 orang adalah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta isteri Datin Seri Saripah Zulkifli dan anggota exco kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Pendakwah kepada pegawai Pejabat Agama Daerah Ipoh Azmi Chai Abdullah yang membawa pulang wang tunai RM3,000, plak, hadiah iringan dan sijil.

Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Mohd Shafai Salleh yang membawa pulang wang tunai RM5,000, plak, hadiah iringan dan sijil.

Di JOHOR BAHRU, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyertai perarakan dengan diiringi Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama 3,317 peserta yang terdiri daripada 80 kontinjen bermula dari Dewan Jubli Intan.

Ketika bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Bandar Pontian, Tunku Ismail menyeru umat Islam agar mencontohi sifat Nabi Muhammad S.A.W. yang mempunyai keperibadian unggul dalam menyatukan kekuatan dan persefahaman dalam kalangan ummah.

Baginda bertitah sebarang perpecahan dan perselisihan faham dalam kalangan umat Islam adalah perkara yang dikeji oleh agama kerana boleh melemahkan kedudukan umat berkenaan serta kestabilan negara.

Selain sambutan di peringkat negeri, majlis sambutan Maulidur Rasul turut diadakan di peringkat daerah termasuk Muar dan Batu Pahat.

Di Muar misalnya, perarakan sambutan bermula di Pejabat Daerah Muar dan berakhir di Masjid Sultan Ibrahim diketuai Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim bersama lebih 5,000 peserta daripada 54 kontinjen.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan sambutan itu di Stadium Malawati yang dihadiri kira-kira 3,600 orang.

Turut berkenan hadir Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sambutan dipenuhi acara bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah S.A.W. bermula dengan perarakan berserta selawat yang disertai 90 kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi dan sekolah.
Tags / Kata Kunci: Maulidur rasul 2016 , selawat

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan