Jenazah Tiga Beranak Maut Di LPT2 Selamat Dikebumikan

Diterbitkan: Isnin, 12 Disember 2016 1:16 PM

Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) petang Ahad disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Guling, Isnin. -fotoTHESTAR/ZabidiTusin

(Ubah saiz teks)

MARANG: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) petang semalam, selamat dikebumikan pukul 10.30 pagi Isnin.

Jenazah Mahani Ngah, 42, dan dua anaknya, Quratulnisa, 11, dan Ahmad Nijat, 9, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Guling, di sini.

Mohd Aziruddin Majid, yang merupakan adik ipar Mahani berkata suami mangsa, Ahmad Nasal Abd Rahman, 52, tidak dapat hadir kerana masih dirawat di Hospital Kemaman bersama seorang lagi anaknya, Ahmad Shakir, 12.

Dua lagi anak mangsa yang cedera parah iaitu Ahmad Mukriz, 3, dan Quratul Ain, 14, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kemalangan ngeri yang membabitkan 10 anggota keluarga itu berlaku selepas susur tol Chukai, kira-kira pukul 6 petang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Ahmad Nasal hilang kawalan ekoran satu tayar hadapan pancit lalu merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar tiang hadapan.

Menurut Mohd Aziruddin, beliau pada awalnya telah menerima maklumat daripada rakan yang berada di tempat kejadian mengenai kemalangan itu tetapi tidak menyangka ia melibatkan ahli keluarga sendiri.

"Pukul 8 malam barulah saya dihubungi mengatakan kemalangan di LPT2 itu melibatkan kakak ipar saya sekeluarga. Mereka sepatutnya mengunjungi kami pada Selasa ini tetapi ubah jadual tanpa memberitahu.

"Mungkin mereka mahu buat kejutan, namun tidak menyangka perkara ini pula yang berlaku," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Mahani yang berasal dari Terengganu merupakan seorang guru di Kodiang, Kedah.

Selain itu, turut maut dalam kemalangan tersebut ialah abang kepada pemandu iaitu Ahmad Razif Abd Rahman, 63, dan isterinya, Pauziah Awang, 56, serta cucu mereka, Sofea Adriana Shahruddin, 7.

Jenazah mereka akan dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor tengah hari Isnin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan