Perlis Perlu Selesai Isu Undang-Undang Tukar Agama - Berita Semasa | mStar

Perlis Perlu Selesai Isu Undang-Undang Tukar Agama

Diterbitkan: Sabtu, 10 Disember 2016 6:09 PM

Shahrir Samad.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kerajaan Perlis perlu menyelesaikan isu berkaitan langkah untuk meminda undang-undang bagi membenarkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral, kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said telah menegaskan undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri jika berlaku ketaktekalan," kata Shahrir.

Beliau berkata kerajaan Perlis juga perlu menyelesaikan perkara tersebut dengan Jabatan Mufti negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Terdapat juga isu di mana pindaan itu bertentangan dengan Jabatan Mufti negeri tersebut, jadi saya fikir terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan," katanya selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada kira-kira 50 kanak-kanak di sini Sabtu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri itu tidak akan campur tangan dalam isu tersebut dan enggan mengulas lanjut.

"Kami tidak akan komen atau campur tangan untuk mengelak timbul lebih banyak kekecohan dalam isu itu, kami akan menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya," kata Khaled selepas melancarkan pembukaan Sekolah Antarabangsa Crescendo-HELP secara rasmi di Taman Desa Cemerlang.

Pada Khamis, Dewan Undang Negeri (DUN) Perlis meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016.

Seksyen 117 dibawah enakmen itu, yang membawa maksud kebenaran ibu dan bapa atau penjaga diperlukan untuk anak dibawah 18 tahun memeluk agama Islam dipinda kepada samada ibu atau bapa atau penjaga untuk tujuan berkenaan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata Pindaan Rang Undang-undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016 yang dibahaskan di sidang DUN pada Khamis hanyalah menyelaraskan kepada versi bahasa Inggeris dari ibu dan bapa kepada ibu atau bapa.

Tags / Kata Kunci: tukar agama , Kerajaan Perlis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan