Pakatan Baharu Dijangka Dibentuk 13 Disember

Diterbitkan: Sabtu, 10 Disember 2016 5:04 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara komited untuk menubuhkan satu pakatan pembangkang yang bergabung bersama DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kami komited untuk membentuk satu logo pakatan parti, satu manifesto dan satu pergerakan," kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada Konvensyen Nasional Amanah di sini Sabtu.

Beliau berkata, Amanah sedia menghadapi apa jua cabaran bersama sekutunya di dalam Pakatan Harapan.

"Amanah akan terus menerapkan corak politik matang, menyelesaikan perbezaan pendapat dan meneruskan perjuangan dengan Pakatan bagi melakukan perubahan dalam politik di negara ini," katanya.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu mengakui bahawa isu penggunaan satu logo masih dibincangkan bersama parti pembangkang yang lain.

"Kami masih berusaha untuk mencapai kata sepakat dan setakat ini perkara itu masih di peringkat perbincangan," katanya.

Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub berkata, penggunaan satu logo amat penting untuk berdepan dengan Barisan Nasional dalam pilihan raya kelak.

"Kita akan menyerahkan cadangan (logo) kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum mengemukakan perkara itu secara rasmi.

"Jika RoS mengabaikan atau menolak cadangan tersebut, maka kita akan membuat keputusan untuk menggunakan satu daripada logo parti Pakatan," katanya.

Salahudin berkata, pembangkang akan mengadakan pertemuan pada 13 Disember ini untuk mencapai kata akhir berhubung pembentukan pakatan baharu.

"Jika Pribumi bersetuju untuk menyertai Pakatan, kemudian baru wujud Pakatan baharu," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mohamad Sabu , Amanah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan