Kabinet Lulus Gubal Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak - Berita Semasa | mStar

Kabinet Lulus Gubal Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Diterbitkan: Sabtu, 10 Disember 2016 8:58 AM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Cadangan penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak akan dibawa ke Parlimen pada Mac depan untuk bacaan pertama dan kedua selepas Kabinet meluluskan usul tersebut, kata Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut Azalina, kertas cadangan itu kini dalam proses draf oleh Pejabat Peguam Negara dan Kabinet juga bersetuju menubuhkan mahkamah khas bagi menangani kes melibatkan akta tersebut, sekali gus menyelesaikan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dalam tempoh pendek.

"Jenayah seksual terhadap golongan kanak-kanak sering berlaku di rumah dan melibatkan ahli keluarga. Situasi itu menyukarkan kita untuk mendapatkan bukti dalam kes sedemikian.

"Rumah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak dan bukan tempat menanggung sengsara," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Mengenai Hak dan Isu-isu Wanita dan Kanak-kanak di Dewan Bandaran, Bandar Penawar di sini, Jumaat. 

Seramai 400 peserta menyertai program anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP). Hadir sama, Ketua Pengarah ILKAP, Datuk Anita Harun.

Sementara itu, Azalina berkata, laporan polis berhubung kes tersebut meningkat tetapi kes yang dibawa ke mahkamah amat sedikit memandangkan faktor kekurangan bukti selain melibatkan mangsa berusia tiga dan empat tahun.

Disebabkan tempoh yang terlalu lama untuk menyelesaikan kes itu, Azalina berkata, mangsa kebiasaannya tidak mampu mengingati detik hitam yang berlaku dalam hidup mereka dan ada mangsa yang malu untuk bercakap tentang jenayah yang terjadi kepada mereka.

"Kita berharap dapat menyelesaikan kes jenayah ini dengan lebih cepat menerusi penubuhan mahkamah khas dan inisiatif ini juga merupakan sebab kita membentuk jawatankuasa khas untuk meneliti isu tersebut.

"Kita telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu ini dan mengusulkan akta yang telah dibentangkan kepada Kabinet," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan