Undang-Undang Tukar Agama Di Perlis Bercanggah Fatwa Negeri

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2016 6:16 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Rang Undang-Undang bagi menukar agama anak oleh ibu bapa yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menimbulkan kekeliruan selain ia bertentangan dengan fatwa negeri.

Selain turut bercanggah dengan Rang Undang-Undang di Parlimen yang bertujuan untuk menghalang penukaran agama dengan persetujuan sebelah pihak, enakmen itu juga bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 2015 mengenai perkara itu.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini berada di luar negara berkata, beliau tidak mempunyai butiran berhubung usul yang diluluskan itu namun memaklumkan akan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri.

Beliau bagaimanapun berkongsi salinan fatwa berkenaan di Facebook pada Jumaat.

"Jika anda bertanya tentang fatwa rasmi Jabatan Mufti Perlis tentang hak penjagaan anak yang telah diluluskan oleh MAIPs, maka hal itu telah diumumkan sejak lama dahulu," tulisnya ringkas.

Pada April 2015, Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan bahawa hak penjagaan anak-anak oleh ibu bapa bukan Islam tidak boleh dinilai berdasarkan agama salah seorang daripada mereka yang memeluk Islam.

Fatwa itu juga menyatakan bahawa hak itu sebaik-baiknya diserahkan kepada sesiapa yang yang lebih dapat menjamin kebaikan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya.

"Dalam masa yang sama ibu atau bapa yang muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak," demikian menurut fatwa berhubung hak anak bagi ibu bapa berlainan agama.

Fatwa ini juga menyatakan bahawa hak penjagaan secara automatik kekal kepada ibu jika kanak-kanak itu masih menyusu badan.

Selain itu jika kanak-kanak itu "mumayyiz" (umur di mana kanak-kanak boleh membezakan antara yang benar dengan yang salah dan mengetahui perbezaan antara lelaki dan wanita), dia berhak untuk membuat pilihan mereka sendiri melainkan jika dapat dibuktikan pilihannya itu akan membahayakan kehidupan mereka.

Pada Khamis, DUN Perlis meluluskan pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016.

Berdasarkan Seksyen 117, frasa dalam bahasa Melayu, "Ayah dan ibu atau penjaga" telah diubah kepada "ibu atau bapa atau penjaga" untuk memberi persetujuan kepada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun untuk memeluk agama Islam.

Tags / Kata Kunci: Mohd Asri Zainul Abidin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan