Pakatan Ketiga Dibentuk Selepas Parlimen Bubar - Takiyuddin

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2016 3:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Takiyuddin Hassan tidak menolak kemungkinan ada parti politik yang akan bergabung dengan PAS sebaik Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung PAS itu berkata, beliau percayai gabungan terbaharu itu mampu membentuk sebuah pakatan pembangkang yang lebih kuat.

"Sekarang ada dua blok, satu pemerintah iaitu Barisan Nasional dan blok Pakatan Rakyat, jadi tidak salah jika kita membentuk pakatan terbaharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2016 di sini, Jumaat.

Dialog bertajuk 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah; itu anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global Malaysia, Datuk Dr Nasharudin Md Isa sebagai moderator.

Tambah Takiyuddin lagi, pengalaman PAS sebagai salah sebuah parti politik tertua di negara ini diyakini mampu memperkasakan pakatan ketiga itu.

"Walaupun pakatan ini masih baharu dan tidak pernah terlibat dalam sebarang pilihan raya sebelum ini, saya yakin pengalaman yang ada pada PAS akan menjadikan pakatan pembangkang ini sebagai sebuah parti yang diterima rakyat".

Sementara itu ketika ditanya mengenai kemungkinan parti Islam itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Takiyuddin berkata, PAS akan menetapkan syarat seperti yang dibincangkan dalam pertemuan bersama kepemimpin tertinggi parti itu sebelum ini. 

"Kita boleh bekerjasama dengan mereka dengan syarat PPBM tidak boleh mempunyai sebarang hubungan politik dengan kedua-dua parti iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah)," katanya.

Tags / Kata Kunci: Takiyuddin , PAS , Parlimen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan