Lebih 2,000 Jemaah Umrah Malaysia Terkandas Di KLIA, Madinah

Diterbitkan: Selasa, 6 Disember 2016 6:30 PM

Sebahagian daripada bagasi milik jemaah umrah yang terkandas.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Lebih 2,000 jemaah umrah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Madinah sejak Ahad.

Difahamkan, kelewatan berpunca daripada masalah teknikal pesawat A380 yang disewa khas Malaysia Airlines untuk penerbangan Kuala Lumpur-Madinah.

Turut difahamkan, ia melibatkan kira-kira 1,200 jemaah bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Madinah, dan 1,200 jemaah lagi bagi penerbangan dari Madinah ke Kuala Lumpur.

Seorang jemaah dari Kajang, Mohd Fadil Mohamed Noor, 40, berkata, dia merupakan salah seorang daripada jemaah yang terkandas untuk ke Madinah sejak Ahad lalu.

Dia yang menyertai rombongan bersama lapan ahli keluarganya berkata, mereka sepatutnya menaiki penerbangan MH8202 ke Madinah pada pukul 1.30 tengah hari Ahad lalu.

Antara jemaah yang terkandas berkumpul di luar hotel.

Mohd Fadil yang terkandas memasuki hari ketiga pada Selasa berkata, kebanyakan mereka ditempatkan di Hotel Empress di Sepang sementara menunggu jadual penerbangan baharu ke Madinah.

“Walaupun terkandas, pihak agensi yang menguruskan jemaah sentiasa menjaga kebajikan kami. Bagaimanapun, kami berharap mendapat berita baik daripada Malaysia Airlines,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Dia mendakwa kelewatan membabitkan jemaah lain telah berlaku sejak Jumaat lalu tetapi mereka yang terkandas telah menaiki penerbangan pada Sabtu. 

Difahamkan, beberapa agensi yang menguruskan jemaah umrah terjejas akibat kelewatan itu adalah TH Travel and Services, Rayhar Travels, Zahafiz Travel and Tours, MR Travel and Services dan Andalusia Travel and Tours.

Seorang lagi jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Amir kesal kerana Malaysia Airlines tidak memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada jemaah.

Sehubungan itu, dia menggesa supaya syarikat penerbangan tempatan itu segera mengatur jadual baharu untuk jemaah menerusi pelan luar jangka.

Jemaah berkumpul di lobi hotel sebelum ditempatkan di hotel lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rayhar Travels, Harun Ahmmu berkata, seramai 966 jemaah Rayhar dan Andalusia turut terlibat sejak Isnin.

Beliau menjelaskan, jumlah itu terdiri daripada 483 jemaah bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Madinah, dan 483 jemaah lagi dari Madinah ke Kuala Lumpur.

"Jemaah kami dari Madinah juga turut terkandas. Kami diberitahu kelewatan berpunca daripada masalah teknikal pesawat A380," katanya.

Bagaimanapun kata Harun, semua jemaah telah dimaklumkan mengenai kelewatan itu dan sentiasa diberikan perkembangan terkini menerusi aplikasi ‘group’ WhatsApp.

“Kami mendapat maklumat terkini daripada Malaysia Airlines kira-kira pukul 4.30 petang tadi bahawa jadual penerbangan baru membabitkan jemaah Rayhar dan Andalusia dari Kuala Lumpur ke Madinah ditetapkan pada pukul 8 pagi esok (Rabu). 

“Kami telah maklumkan kepada semua jemaah. Bagaimanapun, kebajikan jemaah termasuk penginapan jemaah dijaga dengan baik, ” katanya sambil menambah bahawa jemaahnya terpaksa bermalam pada hari kedua sebelum penerbangan pada Rabu.

Tags / Kata Kunci: umrah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan