Jangan Terpedaya Oleh Politik Ilusi Pembangkang - Najib

Diterbitkan: Ahad, 4 Disember 2016 3:20 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung myPPP ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad. -fotoTHESTAR/SamuelOng

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat tidak harus sekali-kali terpedaya atau mempercayai politik ilusi pembangkang.

Beliau mengingatkan mereka supaya tidak termakan oleh propaganda negatif pembangkang kerana mempercayai propaganda seperti itu akan menjadikan mereka kecewa akhirnya.

"Pembangkang punya kerja menghasut. Semalam saya tunjuk video YB Rafizi (Ramli) kata itu (menghasut) memang tugas pembangkang. Ia terkandung dalam video. Kerja pembangkang menghasut dan menghasut.

"Macam mana hendak menjawab perkara itu. Pembangkang tahu bahawa sekiranya seseorang itu tidak dapat meyakinkan orang ramai, kelirukan mereka, inilah yang mereka lakukan mengenai sesuatu isu, mereka akan cuba mengelirukan anda," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung myPPP ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Turut hadir, presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas, setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden kanan nmyPPP Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz dan naib presiden parti itu, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pembangkang perlu mengemukakan rancangan mereka sekiranya tidak bersetuju dengan kerajaan pimpinan BN sekarang.

"Apa yang perlu kita minta daripada pembangkang ialah jika anda tidak bersetuju dengan kami, kemukakan rancangan anda...tapi mereka tidak mempunyai rancangan sewajarnya. Malah, hendak menentukan siapakah yang akan menjadi perdana menteri pun mereka tidak mampu...mereka lemah, mereka tidak percaya antara satu sama lain, juga, mereka tidak suka antara satu sama lain," katanya.

Najib juga mempertahankan keputusan beliau membawa masuk pelaburan bernilai RM143 bilion dari China untuk menjamin masa depan negara ini, bukan kerana beliau ingin menjual kedaulatan negara kepada China seperti yang didakwa pihak tertentu.

"Apa bezanya antara pelaburan dari China, Jepun, Amerika, apakah bezanya? Tidak ada bezanya!

"Saya berharap, sekiranya saya ke India, saya akan bawa masuk pelaburan dari sana juga. Itulah niatnya, kita perlu bawa masuk pelaburan," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan