Wanita Berpantang Di Pusat Pemindahan Buat Kali Kedua

Diterbitkan: Ahad, 4 Disember 2016 5:36 PM

GAMBAR FAIL

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Seorang wanita melalui pengalaman kedua berpantang di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong di sini, selepas rumahnya di Kampung Tiong dinaiki air sedalam 1.5 meter pada Sabtu.

Suziyana Zulkifli, 36, yang melahirkan bayi perempuan pada 9 Oktober lalu, berkata dia mula dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut pada pukul 11.45 pagi semalam oleh sepasukan anggota penyelamat.

"Ini merupakan kali kedua saya ditempatkan di pusat pemindahan banjir ini selepas melahirkan anak ketujuh, Nor Darwisyah Qaisara Mohd Rosli.

"Kali pertama saya berpantang di pusat pemindahan adalah ketika banjir besar pada 2014. Ketika itu saya baru sahaja 12 hari melahirkan anak keenam," katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan banjir tersebut di sini, Ahad.

Walaupun sukar untuk berpantang di pusat pemindahan banjir, namun saya tidak ada pilihan kerana bimbang keselamatan diri dan anak-anak, kata Suziyana, yang merupakan antara 29 mangsa daripada tujuh keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan itu sejak tengah hari Sabtu.

Seorang lagi ibu muda yang baru habis pantang, Azirah Jaafar, 23, dari kampung sama, berkata ini kali pertama dia berpindah ke pusat pemindahan banjir bersama bayi lelaki sulung berusia empat bulan.

Azirah berkata dia mengambil keputusan untuk berpindah kerana bimbangkan keselamatan bayinya itu.

"Sebelum ini pun memang kerap pindah kerana setiap tahun Kampung Tiong akan dinaiki air ketika tengkujuh, tapi ini pengalaman pertama saya berada di pusat pemindahan banjir bersama anak," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan