Samping Corak Tun Razak Dijelmakan Pada PAU 2016

Diterbitkan: Sabtu, 3 Disember 2016 12:36 PM

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak melihat sampin Kain Tenun Pahang corak Tun Razak yang dihadiahkan kepadanya oleh Pengarah Bahagian Creative Media dan Hub Teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Sulaiman Abdul Ghani (kiri) pada Perhimpunan Agung Umno 2016 pada Khamis. Sampin ini dihasilkan dengan kerjasama UiTM dan Jabatan Penjara Malaysia.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Reka corak Tun Razak, iaitu lima garisan berjalur pada samping daripada kain Tenun Diraja Pahang yang pernah dipakai Tun Abdul Razak Hussein semasa menjadi Menteri Besar Pahang, 61 tahun lalu dan ia 'dijelmakan' semula pada Perhimpunan Agung Umno 2016.

Pengarah Hab Media Kreatif dan Teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Sulaiman Abd Ghani berkata, corak samping yang ditenun sendiri oleh nenda Abdul Razak, Selema Sulaiman itu dihasilkan semula dengan kerjasama Penjara Penor di Kuantan, Pahang, untuk dijadikan imej grafik sempena Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Samping berkenaan mengambil masa hampir empat bulan untuk disiapkan, memandangkan susunan benang loseng dan benang pakan yang merupakan material utama selain kain sutera, perlu dilakukan dengan teliti bagi menghasilkan samping yang benar-benar serupa.

"Samping yang siap diambil gambarnya untuk dijadikan imej grafik kepada poster, kain rentang dan latar belakang pentas. Penggunaan corak Tun Razak amat sesuai kerana beliau pejuang Umno yang legasinya kini diteruskan anakandanya (Datuk Seri Najib)," katanya.

Sulaiman berkata samping yang dihasilkan itu telah dihadiahkan kepada Najib pada Jumaat yang begitu teruja melihat hasil usaha beliau bersama-sama 20 individu lain termasuk banduan di Penjara Penor, yang merupakan pusat penghasilan tenun diraja Pahang.

"Alhamdulillah. Cantik! Saya suka. Itu reaksi perdana menteri apabila menerima kain samping itu. Riak wajahnya benar-benar gembira," kata Sulaiman sambil menambah kerja keras dan kajian selama berbulan-bulan menghasilkan corak samping berkenaan begitu berbaloi dan berharap Najib dapat mengenakan samping berkenaan.

Menurut Sulaiman, keistimewaan corak Tun Abdul Razak terletak pada lima susunan benang melintang pada bahagian badan manakala di kepala samping, susunan itu bertemu dengan susunan benang menegak, menghasilkan corak berpetak.

"Corak yang dihasilkan juga ringkas, tidak banyak kilauan benang emas atau  berlebih-lebihan. Ini menunjukkan peribadi pemakainya yang dianggap merendah diri, tidak menyukai kemewahan dan pemimpin berjiwa besar.

"Warna merah hati pula kerana semasa samping itu ditenun, sekitar tahun 1950-an, warna alam sering digunakan manakala kehalusan tenunan menjadi ukuran kebijaksanaan penenunnya," kata Sulaiman yang telah dua kali dipertanggungjawab menghasilkan imej grafik sempena Perhimpunan Agung, sejak tahun lepas.

Menurut Sulaiman, kain samping itu pastinya mempunyai nilai sentimental  kepada Najib kerana selain milik bapanya, samping asal itu masih terpelihara di Muzium Pekan, sejak 1976.

Bersempena, perhimpunan agung ini, Sulaiman menggabungkan corak Tun Abdul Razak dengan kain sarung bermotif corak teluk berangkai dan pucuk rebung berjuang sebagai simbolik perjuangan golongan wanita dalam Umno.

"Corak teluk berangkai menunjukkan penyatuan bangsa manakala pucuk rebung berjuang bermaksud perjuangan Umno dalam memartabatkan Melayu. Itu simbolik motif kain sarung untuk direnung semua perwakilan," katanya.

Sulaiman juga secara berseloroh berkata usaha untuk menghasilkan rekaan baharu bagi perhimpunan agung Umno tahun depan akan menjadi lebih 'sukar dan mencabar' kerana standard tinggi diaplikasikan pada penghasilan corak Tun Abdul Razak. - BERNAMA




Tags / Kata Kunci: samping , Tun Razak , PAU 2016

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan