"Kami Sabar Tapi Tegas Tangani Kritikan Lawan" - Naib Presiden Umno

Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2016 3:33 PM

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menaikkan bendera Umno "Sang Saka Bangsa" pada upacara perbarisan sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis.
Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedua-dua naib presiden Umno mengakui turut menerapkan sikap sabar seperti Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi menggunakan pendekatan berbeza.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa sahaja lontaran fitnah yang mendatang akan ditangani bersama sebaik-baiknya.

"Walaupun PM (Perdana Menteri) sabar, kita tahu kesabaran beliau ada had. Kami mungkin berbeza," katanya pada sidang media bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas ucapan dasar presiden sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Dalam ucapannya, Najib mengambil keputusan untuk bersabar walaupun boleh memilih pendekatan lebih ‘keras' untuk menjawab kritikan dan tohmahan pihak lawan.

Hishammuddin yang turut memegang prinsip yang sama berkata, kesabaran beliau bagaimanapun tidak setinggi kesabaran presiden parti.

"Umno selama ini telah dapat kita pertahankan dalam masa kita diuji kadang-kala dengan kesabaran tetapi tegas.

"Tetapi pada masa sama kita mesti mendedahkan perkara-perkara yang jelas tak konsisten," katanya sambil merujuk kepada kritikan terhadap presiden parti, lebih-lebih lagi ia datang daripada bekas pemimpin Umno.

Sehubungan itu katanya, kesabaran adalah penting tetapi perlu bersikap tegas apabila berdepan dengan setiap kritikan.

Terdahulu, Najib berkata, beliau akan terus berjiwa besar dan bersabar walaupun ramai yang berpandangan beliau tidak boleh lagi berlembut pada perhimpunan kali ini, terutama dalam menjawab cercaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya.

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau akan terus bersikap matang dengan berpegang kepada pesanan Rasulullah kepada isterinya untuk berlembut dalam kata-kata, walaupun terhadap lawan.



Tags / Kata Kunci: Naib Presiden Umno , Najib , Zahid , Hishammuddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan