Isu Keahlian: Tiada Konflik Puteri-Wanita Umno

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2016 8:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Mas Ermieyati Samsudin menafikan timbul ketegangan antara Puteri dan Wanita Umno berhubung isu keahlian sayap bongsu parti itu.

Ketua Puteri itu berkata, cadangan keahlian automatik adalah usaha untuk memperkukuhkan kelangsungan pergerakan tersebut dalam Umno.

Mas Ermieyati memberitahu, ketika ini terdapat pilihan  sama ada menjadi ahli Puteri atau Wanita ketika mendaftar.

"Bukankah mudah kalau usia 18 tahun sampai 35 tahun bebas memilih sama ada menyertai Wanita atau Puteri," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan ketua puteri pada perhimpunan agung pergerakan itu sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Puteri Umno mencadangkan wanita muda berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik dalam pergerakan itu.

Pada masa sama, sayap parti itu menerima banyak cadangan supaya menaikkan had usia Puteri dari 35 ke 40 tahun.

Bagaimanapun kata Mas Ermieyati, cadangan berkenaan hanya tertumpu kepada keahlian baharu tanpa melibatkan ahli sedia ada dari sayap Wanita, walaupun usia masih di peringkat Puteri.

"Kalau mereka sudah masuk Wanita, biarkanlah mereka di Wanita. Itu hak mereka. Yang kita hendak adalah ahli baharu," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa isu keahlian tidak mencetuskan rasa kurang senang antara kedua-dua pihak, malah pertemuan bakal diadakan bagi membincangkan isu tersebut.

"Kami bersama-sama akan mengadakan perbincangan selepas Perhimpunan Agung Umno. Ini adalah untuk kebaikan parti jangka panjang," katanya.

Tags / Kata Kunci: Puteri Umno , Mas Ermieyati

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan