Warga Kota Perlu Ubah Sikap Elak Tindakan Pasukan Apit Roda DBKL

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2016 3:00 PM

Dua anggota Pasukan Apit Roda DBKL mengenakan tindakan terhadap kenderaan yang memakir kereta sesuka hati hingga menghalang laluan awam.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sikap warga kota yang tidak menghiraukan notis kompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diubah bagi mengelak tayar kenderaan mereka dikunci Pasukan Apit Roda DBKL yang ditubuhkan sejak September lalu.

Beroperasi sebulan selepas itu, skuad yang dikelola Unit Trafik DBKL diharap dapat memberi pengajaran dan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mematuhi undang-undang lalu lintas di sekitar ibu negara.

Jurucakap pasukan khas DBKL itu berkata, tujuan skuad ini dilaksanakan adalah untuk memastikan orang ramai mengambil serius peraturan yang ditetapkan, serta mengurangkan bilangan pengguna jalan raya yang menghalang lalu lintas.

“Kami akan bertindak mengikut arus semasa, dan akan menjalankan rondaan setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Namun, untuk perancangan akan datang, kami bercadang untuk bertugas pada setiap hari,” katanya ketika ditemui dalam operasi yang dijalankan pada Rabu.

Tambah jurucakap itu, tindakan pasukan itu akan dijalankan di kawasan yang sering mengalami kesesakan lalu lintas, kawasan pemunggahan barang dan perhentian bas di mana adanya  papan tanda Zon Kunci Tayar.

Pada pagi Rabu, pasukan berkenaan telah turun padang bagi mengesan pemandu yang memakir kenderaan sesuka hati hingga menghalang laluan awam.

Operasi yang bermula pada 10.45 pagi dan tamat pada 12 tengahari telah mengambil tindakan mengunci tayar enam kereta di sekitar ibu negara.

Antara kawasan operasi skuad berkenaan termasuk Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Pahang, Jalan Munsyi Abdullah dan Jalan Chow Kit.

Kompaun RM100 dikenakan kepada pesalah, dan jika selepas empat jam tidak diselesaikan, ia akan ditunda ke Depoh Simpanan Kenderaan DBKL, di Sentul.

Bagaimanapun, selepas 24 jam jika ia masih tidak dituntut pemilik kenderaan terlibat, denda sebanyak RM100 akan dikenakan pada setiap hari.

Sehingga November, skuad itu merekodkan sebanyak 156 kes mengikut Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987.




Tags / Kata Kunci: DBKL , Pasukan Apit Roda

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan