Harga Sayur, Ikan Lebih Mahal Pada Musim Hujan

Diterbitkan: Selasa, 29 November 2016 9:12 AM

Pelanggan memilih sayur-sayuran di pasar malam SS2, Petaling Jaya. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hujan berterusan di seluruh negara telah memberi kesan terhadap bekalan ikan dan sayur-sayuran di pasaran, sekali gus mengakibatkan kenaikan harga.

Musim tengkujuh dan laut bergelora telah menjejaskan sekurang-kurangnya 50 peratus bekalan ikan, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara (KTU), Jaafar@A.Rahman Abu Bakar.

Beliau berkata antara ikan kegemaran ramai yang menunjukkan pengurangan adalah ikan kembung, ikan selayang dan ikan selar kuning.

Walau bagaimanapun, menurut A. Rahman, harganya tidak naik mendadak, namun masih terdapat kenaikan antara RM2 dan RM3 sekilo.

"Harganya tidak naik begitu tinggi. Pada hari biasa, harga ikan kembung kira-kira RM7 atau RM8 sekilo, kini harganya sekitar RM9 atau RM10 sekilo," katanya.

Beliau berkata adalah sukar untuk menentukan jumlah tangkapan nelayan kerana ia berubah-ubah disebabkan oleh cuaca buruk.

A. Rahman berkata, harganya juga berubah-ubah mengikut tempat.

Menurut A. Rahman, nelayan sebelum ini biasanya mampu membuat tangkapan sehingga 1,000 tan ikan dalam masa enam hari.

Setiausaha Persatuan Nelayan Sungai Besar Ji Wei Chen berkata, walaupun terdapat bekalan ikan yang mencukupi, harganya telah meningkat sebanyak 20 peratus.

"Ia juga bergantung kepada permintaan pasaran. Kadang-kadang, ikan bawal dan udang besar dihantar ke negara-negara seperti Singapura," katanya.

Katanya, satu lagi masalah yang timbul adalah kekurangan tenaga kerja.

Jelasnya, kekurangan pekerja asing bermakna tidak banyak bot dapat turun ke laut.

"Tahun ini, bekalan ikan kembung dan cencaru nampak baik, tetapi jumlah nelayan tidak cukup pula untuk membuat tangkapan," katanya.

Musim tengkujuh juga telah menjejaskan antara 20 hingga 30 peratus bekalan sayur-sayuran, terutama yang berdaun, kata Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia Tan So Tiok.

Harga bagi beberapa sayur kegemaran rakyat Malaysia seperti sawi, bayam, kangkung dan kailan adalah antara yang terjejas.

"Harga untuk sayur-sayuran berdaun ini telah naik antara 20 hingga 100 peratus.

"Jika sebelum ini, sebahagian daripadanya berharga RM2 sekilo, tapi kini harganya sekitar RM4 atau lebih. Ia juga bergantung kepada jenis sayur-sayuran," kata So Tiok ketika dihubungi.

Beliau berkata harga sayur-sayuran lain seperti kacang panjang dan timun juga telah meningkat.

Di GEORGE TOWN, suri rumah M. Leela, 44, berkata timun tempatan kini dijual pada harga RM3.39 sekilo di sebuah pasar raya di Air Itam.

"Ini sangat mengejutkan.

"Kali terakhir saya membelinya, harganya adalah 99 sen sekilo," katanya.

Jurucakap pasar raya besar itu berkata pembekal telah menjualnya pada harga yang lebih tinggi berikutan musim hujan.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata harga sayur-sayuran tanah rendah seperti bayam, saderi dan kubis meningkat antara 20 dan 50 peratus.

Beliau juga berkata, pengeluaran di kawasannya telah menyaksikan penurunan sebanyak sekurang-kurangnya 20 peratus disebabkan oleh hujan dan kurangnya cahaya matahari.

Jumlah sayur-sayuran yang diimport dari negara-negara seperti China juga rendah, sambil menambah kos import menjadi lebih mahal disebabkan kejatuhan ringgit.

"Ketika musim hujan, kita juga perlu berhati-hati tentang kualiti.

"Ini adalah barangan mudah rosak, jadi ia tidak boleh disimpan terlalu lama," katanya.

Tinjauan The Star di pasar malam tempatan menunjukkan bahawa harga sayur-sayuran dan ikan adalah 'turun-naik'.

Walaupun harga bagi kebanyakannya meningkat, harga untuk beberapa item masih kekal.

Apa yang mengejutkan, harga kangkung telah jatuh dari RM4 sekilo minggu lalu kepada RM3.50 pada minggu ini.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata banyak aduan diterima daripada orang ramai.

"Kenaikan harga selalu berlaku pada akhir tahun.

"Pengeluaran sayur-sayuran terjejas disebabkan musim hujan adalah tidak betul," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan