Lapan Suspek Rampas MT Orkim Harmony Diekstradisi Ke Malaysia - Berita Semasa | mStar

Lapan Suspek Rampas MT Orkim Harmony Diekstradisi Ke Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 27 November 2016 10:22 AM

Kapal tangki MT Orkim Harmony.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Lapan suspek warga Indonesia yang didakwa merampas kapal tangki MT Orkim Harmony pada Jun tahun lalu telah diesktradisi ke Malaysia.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, kesemua suspek tiba di Lapangan Terbang Senai menerusi penerbangan carter dari Vietnam pada kira-kira pukul 6 pagi Ahad.

Mereka kemudiannya dibawa ke mahkamah Kota Tinggi untuk pendakwaan.

Beliau berkata, suspek yang berusia antara 21 dan 63 tahun itu dibawa oleh satu pasukan yang dianggotai 40 pegawai maritim.

"Mereka ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam di perairan Vietnam dekat Pulau Tho Chu pada 18 Jun 2015 pada kira-kira pukul 6.30 pagi dan mereka dikesan di dalam bot penyelamat. Mereka mendakwa mereka dari bot nelayan yang tenggelam," katanya pada sidang media, Ahad.

Dilaporkan MT Orkim Harmony membawa kira-kira 6,000 tan metrik petrol bernilai kira-kira AS$5.65 juta (RM23 juta) semasa pelayarannya pada 11 Jun tahun lalu dari pantai barat Malaysia ke pelabuhan di Kuantan.

Seramai 22 kru kapal tidak mengalami kecederaan kecuali seorang tukang masak yang cedera ditembak di bahagian kaki.

Tags / Kata Kunci: MT Orkim Hamorny
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan