Tidak Mahu Bantut Persediaan Parti - Rafizi - Berita Semasa | mStar

Tidak Mahu Bantut Persediaan Parti - Rafizi

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2016 6:05 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak mahu 'membantutkan' persediaan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rafizi berkata ketidaktentuan kedudukannya dalam parti sementara menunggu keputusan rayuan mahkamah boleh membuka ruang kepada musuh politik untuk mengganggu jentera pentadbiran dan organisasi parti.

"Jika saya terus memegang jawatan setiausaha agung, ketidaktentuan kelayakan saya di sisi undang-undang boleh memberi ruang kepada musuh politik kita menggunakannya untuk membantutkan persediaan parti.

"Saya tidak mahu faktor saya dijatuhkan hukuman mendatangkan risiko tambahan yang perlu ditangani parti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Rafizi berkata demikian selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha agung parti dan tempatnya digantikan dengan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Rafizi bagaimapun berkata beliau masih kekal sebagai Naib Presiden PKR sehingga keputusan mahkamah diketahui.

"Saya kini kekal sebagai salah seorang naib presiden yang dipilih oleh anggota parti dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

"Mandat sebagai naib presiden telah diberikan oleh anggota, maka saya akan terus menjawatnya sehinggalah proses undang-undang memuktamadkan kedudukan saya di sisi undang-undang kelak," katanya.

Rafizi berkata beliau kini akan memfokuskan kepada kerja-kerja merekrut dan melatih sukarelawan pilihan raya untuk menawan kerusi-kerusi Barisan Nasional yang dimenangi secara tipis.

Pada 14 November 2016, Rafizi telah didapati bersalah oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur melibatkan dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.

Keputusan itu sekali gus membuatkan Rafizi hilang kelayakan di sisi undang-undang untuk bertanding dalam sebarang pilihan raya dan memegang jawatan dalam sebuah pertubuhan politik sekiranya rayuannya ditolak.

Tags / Kata Kunci: Rafizi , PKR , OSA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan