Ahli Parlimen Perlu Berfikiran Jauh, Elak Prejudis - Tuanku Abdul Halim

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2016 12:21 AM

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda di sebuah hotel pada Khamis malam. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihati anggota Parlimen agar berfikiran jauh dan memberi perhatian mengenai kesan sesuatu undang-undang yang digubal kepada hala tuju negara dan perlaksanaan dasar negara.

Titah baginda, sikap prejudis, berkepentingan peribadi dan sikap berat sebelah keterlaluan kepada parti politik harus dielakkan.

"Parlimen yang bertaraf dunia bukan hanya perlu dilengkapi dengan segala prasarana moden, namun dalam menggalas amanah sebagai Ahli Yang Berhormat, taat setia kepada negara harus diutamakan.

"Setiap perkara yang dibahaskan dan apa jua tindakan yang akan dilaksanakan, haruslah berlandaskan kejujuran dan kebijaksanaan, elakkan berpolitik dengan pemikiran yang sempit dan penuh kebencian," titah baginda pada Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, di sini pada Khamis.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berangkat pada majlis santapan yang dianjurkan oleh Parlimen Malaysia sempena tamat tempoh rasmi pemerintahan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14 pada 12 Disember ini.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Tuanku Abdul Halim bertitah kestabilan politik dan keutuhan perpaduan kaum amat perlu bagi menjamin kelangsungan kemakmuran negara.

Dalam perkara itu, jelas baginda, prinsip-prinsip Rukun Negara yang telah dizahirkan pada 23 Februari 1971 iaitu lebih 45 tahun lalu, haruslah sentiasa difahami tujuannya dan dipatuhi maksudnya oleh semua rakyat.

Baginda bertitah, sebagai pemimpin yang paling hampir dengan rakyat, anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat sudah pasti dapat memainkan peranan yang lebih berkesan untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap Prinsip Rukun Negara dan kepentingannya terhadap perpaduan nasional.

"Adalah menjadi harapan Beta agar Parlimen Malaysia mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutamanya perkara-perkara yang menyentuh mengenai Raja-Raja Melayu, Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Persekutuan yang merupakan perkara asas dalam Perlembagaan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada Parlimen khususnya Pandikar Amin yang telah mencetuskan idea dan inisiatif sehingga Transformasi Parlimen berjaya dilaksana.

"Beta juga menyokong setiap perkara yang difikir membawa kebaikan kepada Institusi Parlimen seperti cadangan untuk mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang lebih relevan dengan keperluan semasa dan lebih berprinsipkan kepada pengasingan kuasa yang sebenar," titah baginda.

Kerajaan sebelum ini dilapor sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan semula akta itu yang dimansuhkan pada 1992, sejajar langkah transformasi Parlimen.

Dengan adanya akta itu akan membolehkan menubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran, pengurusan, kewangan dan lain-lain berkenaan Parlimen.

Tuanku Abdul Halim yang akan menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis ini akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Baginda telah mencatat sejarah setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2012 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan