Perhimpunan 19 Nov: DBKL Keluar Bil Tuntutan RM27,373.66

Diterbitkan: Rabu, 23 November 2016 3:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghantar bil tuntutan kos kerosakan landskap dan kerja pembersihan berjumlah RM27,373.66 kepada penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan Baju Merah sebelum hujung minggu ini.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Saufi Muhammad berkata daripada jumlah itu, nilai kerosakan landskap adalah sebanyak RM26,500 manakala bagi bil pembersihan hanya RM873.66 yang melibatkan kos pembersihan di Padang Merbok.

Kataya DBKL tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua penganjur jika mereka gagal membayar bil yang akan dikeluarkan.

"Kita tahu kumpulan-kumpulan ini berada di mana, sebab kita rakam semua pergerakan mereka. Jadi berdasarkan kepada bukti yang kami ada, di mana mereka (penganjur) ada, mereka kena tanggung kos yang kami akan hantar nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penguat kuasa Siri 1/2016, di sini, Rabu.

Majlis itu menyaksikan seramai 88 orang pelatih dan dua orang pegawai menamatkan latihan yang berlangsung selama tiga bulan sejak Ogos 2016.

Dalam pada itu, Saufi berkata DBKL tidak bertanggungjawab ke atas kerugian mana-mana peniaga di sekitar pusat bandar raya yang didakwa terjejas ekoran perhimpunan Sabtu lepas.

Beliau mengulas dakwaan Bendahari Bersih 2.0, Thomas Fann yang menyatakan peniaga boleh menuntut kerugian mereka kepada DBKL kerana telah mengarahkan mereka menutup kedai semasa perhimpunan itu.

"Kami tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian kepada pemilik-pemilik premis, cuma kami ada keluarkan notis kepada peniaga-peniaga pasar malam sahaja dinasihatkan agar untuk tutup kedai demi keselamatan mereka, itu sahaja," katanya. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan