PAU2016: Umno P.Pinang Bawa Isu Kelemahan Kerajaan DAP

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2016 12:07 PM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Kelemahan dan kecacatan kerajaan DAP Pulau Pinang selama lapan tahun mentadbir negeri, merupakan isu dibangkitkan Umno Pulau Pinang pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata perkara itu perlu dikongsi dengan perwakilan Umno seluruh negara untuk dijadikan iktibar daripada pengalaman rakyat Pulau Pinang.

"Banyak isu-isu di Pulau Pinang ini yang perlu kita kongsi antaranya kepentingan rakyat dan bumiputera dalam bidang perumahan, ekonomi, kebajikan, sosial dan alam sekitar. Isu-isu ini...tidak diberi keutamaan langsung (oleh kerajaan negeri pimpinan DAP)," katanya kepada Bernama, di sini.

Perhimpunan Agung Umno 2016 akan berlangsung pada 29 November sehingga 3 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dijangka lebih 3,200 perwakilan hadir.

Tumpuan turut diberikan kepada persiapan UMNO Pulau Pinang menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 Zainal Abidin berkata Umno Pulau Pinang diwakili Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir bagi membahaskan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya (usul agama) dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datuk Ir Shaik Hussein Mydin (usul ekonomi). 

Ditanya mengenai apa yang diharapkan Umno Pulau Pinang pada perhimpunan kali ini, beliau berkata pihaknya mengharapkan perhimpunan itu dapat memberi suntikan semangat baharu kepada semua anggota parti untuk memantap dan memperkuat jentera menghadapi PRU14.

Bagi menghadapi pelbagai cabaran termasuk penubuhan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Zainal Abidin menyeru semua anggota parti untuk terus setia dan jujur pada perjuangan parti yang banyak berjasa kepada mereka.

Beliau berkata penubuhan PPBM tidak sama senarionya dengan penubuhan PKR selepas timbalan presiden parti ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan menyifatkan kepimpinan kanan parti serpihan Umno itu tidak ada sentuhan terus dengan rakyat Pulau Pinang.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain tidak ada sentuhan terus dengan rakyat Pulau Pinang. Walaupun PPBM ini ada wakil-wakilnya di Pulau Pinang tetapi gerakan mereka nampak perlahan dan tidak menyerlah di mana-mana kawasan di sini," katanya.

Menurutnya Umno Pulau Pinang tidak mengambil ringan perkara itu dan pihaknya berusaha untuk mengembalikan sokongan rakyat di negeri itu terhadap Barisan Nasional (BN) dan usaha itu juga memerlukan sokongan daripada parti-parti komponen BN untuk menarik undi bukan Melayu. 

Zainal Abidin berkata walaupun Umno Pulau Pinang berjaya memenangi kesemua 20 kerusi dipertandingkan, namun tidak mencukupi untuk menubuhkan sebuah kerajaan tanpa kemenangan kerusi parti komponen seperti Gerakan, MCA, MIC dan PPP.

Justeru, beliau berharap semua parti komponen terus bekerja keras dan lebih agresif dalam membawa isu-isu semasa di Pulau Pinang kepada masyarakat Cina dan India.

"Saya harap orang Cina beri beberapa kerusi kepada Gerakan untuk mereka bersuara di DUN. Kita kena terima hakikat tanpa sokongan orang Cina kita tak boleh tubuh kerajaan. Tapi kalau tak dapat tubuh kerajaan pun kita harap dapat jadi pembangkang yang kuat. 

"Pembangkang yang kuat ni maknanya bukan sahaja Umno jadi pembangkang, Gerakan pun ada kerusi begitu juga MCA dan MIC supaya mereka dapat mewakili suara parti dan juga rakyat Cina dan India Pulau Pinang," katanya.

Umno memenangi 10 daripada 40 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-13.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Umno P.Pinang , PAU2016 , Zainal Abidin Osman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan