Kos Pengeluaran Minyak Masak Kitar Semula Lebih Mahal - KPDNKK

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2016 8:03 PM

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan replika Kad Diskaun 1Malaysia (KADS1M) kepada wakil Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Thong Kok Hoon sambil disaksikan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh (dua, kiri) pada Jumaat. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tidak terdapat pengusaha kilang yang dilapor mengeluarkan minyak masak yang telah dikitar semula memandangkan kos pengeluarannya adalah lebih mahal berbanding harga minyak masak bersubsidi.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, perkara itu dimaklumkan endiri oleh pihak pengilang dan pengeluar minyak masak. 

"Kita dimaklumkan oleh pihak pengeluar bahawa untuk memproses semula minyak masak yang telah digunakan, kosnya adalah lebih tinggi iaitu lebih RM3 sekilogram berbanding minyak masak bersubsidi yang berharga RM2.50 sekilogram.

"Jadi adalah mustahil untuk mereka mengeluarkan minyak masak kitar semula dengan kos yang tinggi seperti itu," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2016 oleh Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di sini, Jumaat.

Namun katanya, aktiviti penjualan minyak masak kitar semula diakui berlaku di negara yang harga bahan tersebut adalah mahal.

"Tetapi kementerian tetap terbuka untuk menerima sebarang aduan daripada orang ramai jika mengesyaki adanya kerja-kerja mengitar semula minyak masak yang telah digunakan," kata Mohd Roslan.

Bagaimanapun, beliau berkata, aktiviti mengutip minyak masak yang telah digunakan adalah sah di sisi undang-undang dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia turut mengeluarkan lesen kepada pengusaha bagi menjalankan aktiviti tersebut. 

"Namun apa yang kita tegaskan adalah aktiviti yang dilakukan bukanlah untuk memproses semula ia menjadi minyak masakan tetapi bagi dijadikan bahan lain seperti biofuel, sabun dan makanan binatang," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: minyak masak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan