Jamal Tak Muncul Perjumpaan Baju Merah

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2016 6:45 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak menghadirkan diri ke perjumpaan Baju Merah yang sepatutnya menjadi 'sesi memberi kata-kata semangat' buat penyokongnya di Masjid Negara di sini, Jumaat.

Ketua kumpulan Baju Merah itu sepatutnya membuat sidang media pada pukul 2.30 petang berhubung perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Sumber terdekat Jamal memberitahu pemberita pada pukul 5 petang bahawa beliau 'tidak dapat dihubungi' ketika itu dan tidak dipastikan di mana beliau berada.

Sidang media tidak diadakan walaupun kira-kira 100 penyokong menunggu Jamal sejak 2 petang.

Menurut sekretariat Baju Merah, keadaan berlaku mungkin disebabkan Jamal mahu mengambil pendekatan 'low profile' daripada pihak polis yang mungkin mahu menahannya daripada menyertai bantahan balas pada perhimpunan Bersih.

Selepas dua jam menunggu, beberapa pemimpin Baju Merah mula berucap kepada para penyokong dan berhenti apabila hujan lebat.

Sekretariat Baju Merah, Razali Zakaria berkata, lebih ramai penyokong Baju Merah akan tiba kemudian di lokasi sama di mana mereka dijangka 'berkhemah' sehingga pagi Sabtu.

"Selepas adanya kira-kira 1,000 di sini, yang lain akan dikerahkan ke lokasi-lokasi seperti Masjid Jamek, Bangsar dan lima lokasi pertemuan Bersih 5.

"Arahan daripada pemimpin pergerakan Baju Merah adalah jelas iaitu di mana ada kuning, di situ ada merah," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan